My Add

Wednesday 16 May 2012

Majlis Peguam sudah jadi parti politik: Tun Dr Mahathir

 Tun Dr Mahathir MohamadDr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA, RABU, 16 Mei, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata Majlis Peguam sudah menjadi sebuah parti politik kerana perhatiannya lebih kepada politik. 

Oleh itu, katanya, Majlis Peguam sepatutnya membiarkan pertubuhan lain mengambil alih bahagian profesional bagi mengelakkan kekeliruan.
"Saya fikir sebuah badan profesional perlu memberi perhatian lebih kepada profesion tetapi ia jelas bahawa Majlis Peguam sudah menjadi sebuah parti politik.

"Kemudian, kita ada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), arkitek semua jadi parti politik dan kemudian akan ada banyak kekeliruan," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. 

Dr Mahathir mengulas satu cadangan untuk membentuk sebuah pertubuhan baru bagi peguam untuk mewakili profesion, kebajikan dan kepentingan undang-undang mereka, memandangkan Majlis Peguam yang ada gagal mempertahankan dirinya sebagai sebuah badan profesional yang berintegriti. 

Ketika diminta mengulas tindakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Naib Pengerusi DAP, Dr Mahathir hanya berkata: 

"Saya fikir daripada awal lagi dia tak sesuai dengan DAP. Saya tak tau pasai apa dia masuk".

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Canselor Universiti Perdana menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) antara universiti itu dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). 

MoU dengan MARDI adalah bagi mengukuhkan, memudahkan, menggalak dan mengembangkan kerjasama dalam penyelidikan pertanian berkaitan dengan kesihatan manakala MoU dengan UPM adalah berhubung kerjasama bagi mengukuh, menggalak dan memajukan sains dan akademik antara kedua buah institusi. 

Universiti Perdana dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu dengan objektif bagi meningkatkan kualiti pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan di negara ini. 

Pada masa ini, ia mempunyai dua pusat pengajian perubatan iaitu Program Pengajian Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) dengan kerjasama John Hopkins University School of Medicine (JHUSOM) yang menawarkan program kemasukan graduan empat tahun berdasarkan kepada kurikulum Amerika Syarikat dan program Pengajian Perubatan Universiti Perdana-Royal College of Surgeons di Ireland (PU-RCSI) yang menawarkan program lima tahun berdasarkan kurikulum konvensional RSCI. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment