My Add

Wednesday 9 May 2012

MBS minta kerajaan teliti semula pelaksanaan Parlimen Belia

SHAH ALAM, SELASA, 08 Mei, 2012: Majlis Belia Selangor (MBS) mahu kerajaan membuat penelitian semula berhubung penubuhan Parlimen Belia kerana pelaksanaannya dilihat tidak cekap dan tidak sistematik.

Pengerusi Tetapnya, Nor Akmal Ibos berkata, ini kerana MBS mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan Parlimen Belia terutama dari segi pemilihan ahli yang bukan dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau berkata, perkara itu harus diteliti semula kerana ia dibimbangi akan memberi kesan tidak baik kepada Parlimen Belia yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan niat baik untuk mengiktiraf suara belia di negara ini.

"Antara kelemahan yang dikenal pasti oleh MBS adalah dari segi pemilihan ahli iaitu misalnya, ada antara mereka yang dicalonkan untuk menjadi ahli berasal dari Semenanjung tetapi dicalonkan mewakili belia di Sabah dan Sarawak.

"Sekiranya kelemahan itu tidak dapat dikenal pasti dan diselesaikan, ia dikhuatiri akan memberi kesan tidak baik kepada penubuhan Parlimen Belia sedangkan jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu memberi kesan positif kepada belia di negara ini," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Sesi persidangan percubaan Parlimen Belia dijadual berlangsung di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, dekat sini pada Jumaat ini.

Penubuhan Parlimen Belia adalah susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau merasmikan sambutan Hari Belia Negara di Putrajaya pada Mei tahun lalu.

Parlimen Belia itu akan dianggotai oleh seramai 222 wakil belia yang terpilih dan ia akan dibahagikan kepada beberapa jawatankuasa seperti sosioekonomi, tenaga hijau, alam sekitar, dasar luar serta pelajaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment