My Add

Wednesday 9 May 2012

MRT: 4 lagi pakej diluluskan

KUALA LUMPUR, EABU, 09 Mei, 2012: Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) meluluskan empat pakej tender tambahan bernilai RM3.22 bilion untuk pembinaan 51 kilometer (km) Laluan MY Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh–Kajang (SBK). 

Tender itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemerolehan Sehenti (OSPC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya, hari ini.

"Pakej-pakej berkenaan ialah untuk Jejambat 1, Jejambat 4, Jejambat 7 dan Depot 1," menurut MRT Corp dalam satu kenyataan.

Pakej jejambat itu termasuk pembinaan dan penyiapan jalan masuk jejambat dan kerja-kerja berkaitan, manakala pakej depot membabitkan pembinaan Depot Sungai Buloh dan bangunan berkaitan. 

Pakej V1 yang juga pakej eksklusif Bumiputera, meliputi kerja-kerja penjajaran SBK antara stesen Sungai Buloh dan Kota Damansara dan kontrak diperoleh Syarikat Muhibbah Perniagaan & Pembinaan Sdn Bhd. 

Pakej V4 bagi projek antara Seksyen 17 di Petaling Jaya dan Semantan Portal diluluskan kepada Sunway Construction Sdn Bhd. 

Semantan Portal membabitkan jajaran yang berterusan ke laluan bawah tanah. 
Sementara itu, Pakej V7 bagi kerja-kerja antara Bandar Tun Hussein Onn dan Taman Mesra, kedua-duanya di Cheras, dimenangi MTD Construction Sdn Bhd. 

Pakej akhir DPT1 OSPC membabitkan kerja berkaitan Depot Sungai Buloh. Tender kategori terbuka itu dimenangi oleh syarikat Bumiputera, Trans Resources Corporation Sdn Bhd. 

Ketua Pegawai Eksekutif JMRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid, berkata beliau gembira kerana projek itu sudah mencatat kemajuan lanjut berdasarkan kelulusan pakej-pakej tender itu yang juga tender ketiga yang diluluskan oleh OSPC. 

"Selepas meluluskan pakej Jejambat 5 dan Jejambat 6 pada Januari, masing-masing kepada IJM Construction Sdn Bhd dan Ahmad Zaki Sdn Bhd, dan pakej bawah tanah pada Mac kepada MMC-Gamuda JV, projek-projek ini sudah menampakkan kemajuan dalam Laluan SBK. 

"Saya mengucapkan tahniah kepada pembina yang berjaya dan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan mereka mengenai pentingnya projek itu, bukan sahaja untuk Kuala Lumpur sebagai sebuah kota raya, malah kepada Malaysia secara amnya," katanya. 

Azhar berkata, berdasarkan kontrak yang diluluskan sebelum ini, tender terbaik yang dinilai dipilih selepas penilaian adil, ketat dan bersesuaian oleh OSPC. 

"Penilaian mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keupayaan teknikal, kedudukan kewangan serta harga. 

"Yang penting ialah mendapatkan kesesuaian yang akan memastikan projek dilaksanakan menggunakan input teknikal yang terbaik oleh kontraktor berkeupayaan, dan pada masa yang sama mengekalkan kos dalam jangkaan setiap pakej," katanya. 

Dari segi manfaat ekonomi, selain pewujudkan peluang pekerjaan, Azhar berkata sektor pembinaan secara khusus menjadi penerima manfaat utama memandangkan sudah pasti akan wujudkan limpahan ekonomi. 

MRT Corp dijangka meluluskan lebih banyak tender dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

Projek MRT ialah sebahagian daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) /Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

Laluan SBK beroperasi dari bandar Sungai Buloh ke bandar Kajang. 

Apabila siap, ia akan mengandungi 31 stesen dan memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluan. 

Ia juga dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan rel sedia ada di Kuala Lumpur iaitu LRT, monorel dan KTM Komuter, selain laluan bas dalam bandar dan luar bandar yang akan menawarkan sambungan yang lebih baik untuk Kuala Lumpur dan bandar sekelilingnya, termasuk mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki pusat bandar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment