My Add

Saturday 26 May 2012

Najib tampilkan kepimpinan ekonomi cemerlang

KUALA LUMPUR, SABTU, 26 Mei, 2012: Dasar ekonomi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan ekonomi Malaysia untuk berkembang lebih lanjut.

Mengambil alih sebagai perdana menteri ke-6 Malaysia pada April 2009 ketika pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua negara merosot kepada 3.9 peratus di celah-celah kegawatan ekonomi dunia akibat krisis kewangan subprima Barat, Najib tidak membuang masa untuk terus menangani keadaan.
Tindakan tangkasnya menerusi "bajet mini" sebulan kemudian membuahkan hasil apabila suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5 peratus, yang mengatasi jangkaan ramai, menurut Pengarah Penyelidikan Ekonomi, AmResearch, Manokaran Mottain.

Manokaran, seorang ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC), berkata langkah Najib yang paling berkesan ialah menurunkan kadar faedah, satu langkah yang tepat dalam memperbaiki kelemahan ekonomi.

"Menurunkan kadar faedah telah meningkatkan pendapatan boleh guna dengan menurunkan jumlah bayaran untuk pinjaman dan oleh itu orang ramai mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan dan ini seterusnya mengukuhkan penggunaan persendirian," katanya.

Langkah ini seterusnya terbukti tepat dan pragmatik apabila ekonomi Malaysia yang diramalkan menguncup sebanyak 5.0 peratus pada 2009, akhirnya menguncup hanya 1.7 peratus.

Ekonomi Malaysia meningkat semula dengan ketara sebanyak 7.2 peratus pada 2010 dan terus tumbuh sebanyak 5.2 peratus pada 2011, di celah-celah kecelaruan ekonomi dunia akibat krisis hutang negara zon Euro. 

Semenjak mengambil alih sebagai perdana menteri pada 2009, Malaysia telah melalui 10 suku positif berturutan, mulai suku keempat 2009. Walaupun dunia sedang menghadapi krisis Zon Euro, Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan kukuh 4.7 peratus pada suku pertama 2012.

Dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kini bergerak pada landasan yang betul dan digandingkan dengan pelaksanaan dasar Model Baharu Ekonomi, sektor domestik berada pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi persekitaran luar yang tidak menentu.

ETP akan menjadi pemangkin utama kepada ekonomi bagi 10 tahun yang akan datang kerana kebanyakan daripada 131 projek permulaan (EPP) akan berterusan hingga 2020.

Satu di antaranya ialah jaringan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) yang akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi sebaik sahaja ia dilancarkan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, telah berkata bahawa projek-projek seperti itu akan menambah 0.6 hingga 0.7 peratus kepada KDNK. Akan terdapat banyak aktiviti dan projek ekonomi yang akan menyumbang kepada KDNK.

Kebanyakan pakar ekonomi berkata pertumbuhan 5.0 peratus setahun adalah mencukupi bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju. Pertumbuhan KDNK 2010 dan 2011 masing-masing pada 7.2 peratus dan 5.1 peratus, akan memberikan purata pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus.

Najib dan pasukannya mengunjurkan faktor penting yang perlu untuk menggerakkan ekonomi negara. Kini, tiada tanda tanya lagi ke mana arah ekonomi negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment