My Add

Saturday 26 May 2012

Kerajaan pusat lulus RM5b projek pembangunan Sabah

PAPAR, SABTU, 26 Mei, 2012:: Kerajaan pusat meluluskan geran peruntukan sejumlah RM5 bilion bagi membiayai pelbagai projek pembangunan yang terpilih sekali gus dapat melonjakkan pembangunan ekonomi terus pesat di seluruh Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 peratus (RM500 juta) dikhususkan sebagai bantuan dana mudahcara bagi membiayai kos pembangunan infrastruktur untuk projek-projek kerjasama awam swasta di negeri ini.

"Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri mahu menggalakkan pihak swasta melabur dalam apa-apa sahaja projek yang dapat melonjakkan dan membangkitkan ekonomi di seluruh negara termasuk Sabah, seperti resort pelancongan, hotel dan projek teknologi janakuasa," katanya selepas merasmikan 'Roadshow' Yayasan Sabah Bersama Rakyat peringkat Zon Pedalaman Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan II di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menerusi UKAS mengenal pasti projek terpilih termasuk bantuan dana mudahcara RM250 juta bagi membiayai pusat persidangan yang dinamakan 'Sabah International Convention Centre' di Kota Kinabalu bagi menjaring pasaran antarabangsa. 

Katanya, antara projek lain ialah projek Stesen Janakuasa Geothermal di Tawau, Pusat Kraftangan Sabah di Keningau dan beberapa pusat pelancongan akan ditubuhkan. 

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah menyerahkan cek itu kepada pengusaha terlibat dan kita juga telah umum projek yang berjaya. Namun, bagi pengusaha-pengusaha yang berminat (berkaitan) boleh memohon (dana mudahcara) dan mana yang siap projek boleh tuntut 10 peratus itu," katanya. 

Sehubungan itu, Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, pengusaha dan kontraktor tempatan harus merebut peluang untuk mendapat dana mudahcara itu. 

Pada majlis itu, Musa turut menyaksikan memorandum perjanjian Penyediaan Dana Mudahcara untuk projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah antara Kumpulan Yayasan Sabah, UKAS dan Bank Pembangunan (M) Bhd. 

Kumpulan Yayasan Sabah diwakili Pengarahnya, Tan Sri Khalil Jamalul, UKAS oleh Ketua Pengarah UKAS, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Bank Pembangunan oleh Timbalan Presiden merangkap Ketua Perbankan Perniagaan 1, Zakaria Saad. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment