My Add

Tuesday 15 May 2012

Nazaruddin akhirnya bebas, pulang ke Malaysia

NAZARUDDIN SAIDIN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Mei, 2012: Setelah lebih setahun diculik kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina, peniaga cicak tokek, Mohd. Nazaruddin Saidin, akhirnya dibebaskan dan dibawa pulang ke tanah air.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetuai misi membebaskan dan menyelamat peniaga berusia 39 tahun itu mengesahkan perkara tersebut.

Menurut beliau, satu sidang akhbar berhubung kejayaan tersebut akan diadakan tengah hari esok di pejabatnya di Kampung Attap di sini.

"Dia berada dalam keadaan baik dan akan dipertemukan buat pertama kali dengan ahli keluarganya esok. Jadi apa-apa soalan boleh dikemukakan esok," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia hari ini.

Bapa kepada enam anak itu diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina pada 8 Mei lalu bagi menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di negara tersebut.

Januari lalu, kumpulan Abu Sayyaf dikatakan telah mengurangkan jumlah wang tebusan daripada RM200,000 sebelum ini kepada RM100,000 daripada keluarga mangsa.

Penculik dikatakan bersedia membebaskan Nazaruddin dengan mengurangkan lagi harga rundingan namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

Difahamkan, misi menyelamat tersebut tidak melalui pihak kedutaan sebaliknya menggunakan rakyat tempatan yang mengenali kumpulan penculik terbabit. Mereka dikatakan bertindak sebagai orang perantaraan untuk menyerahkan sejumlah wang tebusan bagi menyelamatkan Mohd. Nazaruddin.

Sementara itu, ibu Mohd. Nazaruddin, Siti Hamdah Ahmad, 59, memanjat kesyukuran di atas segala usaha yang dipermudahkan Allah sehingga anaknya berjaya kembali dalam keadaan selamat.

Menurutnya, kepulangan anaknya itu ibarat hadiah paling berharga sempena Hari Ibu yang baru dua hari disambut bersama keluarganya.

"Saya tidak pernah berhenti berharap dan berdoa setiap masa untuk bertemu kembali anak sulung saya.

"Ini semua kuasa Tuhan nak gerakkan hati masing-masing sehingga ada yang sudi membantu menghulur bantuan menyelamat, membayar pampasan dan mengembalikan anak saya," katanya.

Menurut Siti Hamdah, berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Abdul Azeez yang berkunjung ke rumahnya di Sungai Buloh kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

"Datuk (Abdul Azeez) memaklumkan beliau akan jelaskan semua mengenai misi membebas dan menyelamat itu pada sidang akhbar esok dan kami sekeluarga dijemput hadir.

"Saya ingin ambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas keprihatinan mereka sepanjang usaha membebaskan anak saya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment