My Add

Saturday, 19 May 2012

Nicol mara ke separuh akhir Terbuka Britain

KUALA LUMPUR, SABTU, 19 Mei, 2012: Jaguh skuasy wanita dunia, Datuk Nicol Ann David, mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Britain 2012 selepas mengatasi pilihan ke-12 dari New Zealand Joelle King, 3-1.

Pada perlawanan suku akhir yang berlangsung pada Jumaat di 02 Arena di London, Joelle menguasai set pertama dan berjaya menundukkan pemain nombor satu dunia itu 11-8.

Nicol yang juga juara kejohanan sebanyak tiga kali, bagaimanapun menemui semula rentaknya dan menguasai tiga set selepas itu dengan 11-3, 11-4 dan 11-0 dalam masa 45 minit.

"Saya memang menjangkakan beliau bermula dengan baik. Beliau sudah pastinya bersemangat selepas kemenangan ke atas Rachael (Grinham) (semalam)," katanya yang dipetik berkata menerusi laman web kejohanan www.britishopensquash.net.

Nicol dijadual bertemu pilihan ketiga Laura Massaro dari England yang menumpaskan pemain Perancis Camille Serme 11-13, 11-3, 11-9 dan 11-9 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

"Pastinya pertemuan dengan Laura esok menjanjikan perlawanan menarik, penonton tentu menyokong beliau dan saya berharap saya juga akan menerima sokongan," kata Nicol.

Satu lagi perlawanan separuh akhir esok akan menyaksikan pertemuan dua pemain dari Mesir iaitu Nour El Sherbini dan Raneem El Weleily. 
Nour mengatasi pemain Hong Kong, Annie Au 9-11, 11-7, 11-6, 9-11 dan 11-6, sementara Raneem mencipta kejutan ke atas pemain nombor dua dunia, Jenny Duncalf dari England dengan 12-10, 11-7 dan 11-5 dalam masa 27 minit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment