My Add

Monday 21 May 2012

Patuh arahan larangan merokok

*PEGAWAI Farmasi Hospital Melaka, Nursahjohana Md Sahak (kanan) memberi penerangan mengenai penggunaan alat pemeriksaan nikotin dalam badan kepada peserta Seminar Melaka Bebas Asap Rokok di MiTC, 
Ayer Keroh, Melaka, semalam.


Oleh Nurhasyima Hasim
AYER KEROH, ISNIN, 21 Mei, 2012: Penguatkuasaan larangan merokok di lima zon mengikut Program Melaka Bebas Asap Rokok, mendapat sambutan baik sejak peraturan itu diperkenalkan kerajaan hampir setahun lalu.

Lima zon itu membabitkan tapak Warisan Dunia; Melaka Raya; Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh; bandar Jasin dan Alor Gajah.

Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda antara RM250 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda antara RM250 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Dul Hadi Mad Junid berkata, penerimaan itu berdasarkan peningkatan kadar pematuhan dan pemahaman orang ramai khususnya pelancong luar terhadap peraturan terbabit.

“Agak mustahil untuk mencapai sokongan 100 peratus tetapi berdasarkan kajian awal dan pemerhatian, berlaku peningkatan dari aspek pemahaman orang ramai terhadap program dan peraturan ini khususnya di lima zon larangan merokok yang diwartakan.

“Selain itu, semakin ramai peniaga dan pelancong yang menyatakan kesediaan menjayakan program itu. Bagi mengetahui kesan sebenar penguatkuasaan peraturan, pihak jabatan akan mengadakan kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bermula bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Melaka Bebas Asap Rokok di sini, semalam. Perasmian seminar disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Kira-kira 200 orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri ini menghadiri seminar sehari itu. Hadir sama Timbalan Pengerusi Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok, Datuk Hasnah Salam.

Pada 5 Jun tahun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan lima lokasi di negeri ini diisytiharkan zon larangan merokok berkuat kuasa 15 Jun 2011, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung bahaya merokok.

Dr Dul Hadi berkata, sejak operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara rasmi pada September 2011 hingga April tahun ini, 118 kompaun bernilai RM4,500 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri terhadap perokok yang melanggar peraturan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, zon larangan merokok di negeri ini akan diperluaskan ke kawasan kampung dan taman perumahan bagi menjayakan kempen Program Melaka Bebas Asap Rokok sekali gus meningkatkan kesedaran bahaya merokok di kalangan rakyat tempatan. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment