My Add

Sunday 6 May 2012

Peguam Negara didesak bertindak

KUALA LUMPUR, SABTU, 05 Mei, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengulangi pendirian mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara mengambil tindakan segera terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk S. Ambiga berhubung kekecohan yang berlaku akibat perhimpunan haram Bersih 3.0 sabtu lalu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, para peserta perhimpunan yang diburu oleh polis hanya 'ikan bilis' yang jika didapati bersalah tidak akan dikenakan hukuman berat.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak polis wajar memberi perhatian kepada 'jerung-jerung' yang menjadi 'kepala' kepada penganjuran perhimpunan haram berkenaan dan menyebabkan berlaku kekecohan sehingga mendatangkan kecederaan serta kerugian.

"Ini yang selalu orang kata, 'ikan bilis kena, jerung terlepas'. Pihak polis sewajarnya mengambil tindakan terhadap 'jerung-jerung' ini yang didalangi Ambiga dan Anwar.

"Sekiranya, pihak polis dan kerajaan dilihat takut untuk bertindak segera terhadap 'jerung-jerung' ini, majoriti rakyat akan hilang keyakinan.

"Jadi, Perkasa mendesak PDRM, Peguam Negara dan pihak bertanggungjawab dalam urusan pelaksanaan undang-undang supaya segera mendakwa Ambiga, Anwar dan 'jerung' perhimpunan haram Bersih 3.0 yang lain," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 bertujuan menggulingkan kerajaan perlu diberikan perhatian serius.

Justeru itu kata beliau, tindakan tegas harus dikenakan terhadap peserta perhimpunan haram tersebut memandangkan mekanisme pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak wujud lagi.

"Anggapan bahawa rakyat Malaysia telah matang sehingga mendorong pemansuhan ISA adalah tidak tepat. Mekanisma pencegahan sebelum 'nasi menjadi bubur' atau sebelum nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, sudah tidak ada lagi.

"Apa yang ada hanya tindakan atau hukuman menerusi mahkamah sahaja. Jadi, tindakan tegas dan segera perlu diambil oleh pihak pendakwa raya bagi memastikan peserta-peserta ini tidak terlepas," tegas beliau lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment