*PERUMAHAN Awam Sri Melaka antara perumahan yang didakwa sebahagian penduduknya menerima caj penggunaan air tidak setimpal dengan penggunaan harian mereka sejak Oktober tahun lalu. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED
Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Sesiapa sahaja pasti tidak akan berpuas hati apabila terpaksa membayar perkhidmatan tidak digunakan ataupun caj yang tidak setimpal dengan penggunaan mereka.
Namun, itu yang terpaksa ditanggung majoriti penghuni Perumahan Awam (PA) Seri Melak, Cheras, di sini apabila caj penggunaan air dikenakan kepada mereka hanya berdasarkan anggaran bulanan.
Rata-rata mereka mendakwa, anggaran bulanan RM25 dikenakan tidak munasabah memandangkan ada yang hanya tinggal dua beranak dan tidak menggunakan terlalu banyak air untuk keperluan harian.
Dakwa mereka, bil air diterima kini jauh lebih tinggi berbanding purata bulanan yang digunakan mereka dahulu iaitu sekitar RM10 ke RM15 sahaja.
Malah, lebih memeritkan bebanan itu terpaksa ditanggung sebahagian golongan yang rata-rata berpendapatan rendah dan warga emas.
Mengikut notis yang terdapat pada bil air diterima penduduk, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan bil tersebut adalah sementara dan pelarasan akan dibuat setiap empat bulan sehingga sistem bil air beroperasi sepenuhnya.
Namun, penduduk tertanya-tanya sampai bila mereka terpaksa membayar lebihan caj tersebut kerana sehingga kini masalah sistem bil air tersebut masih tidak dapat diselesaikan.
Seorang penduduk, Ahmad Dalib, 78 yang tinggal bersama isterinya terkejut dengan caj bil air diterima dan dianggap tidak masuk akal.
"Bil ini agak meragukan kerana jika mereka kata caj ini berdasarkan anggaran bulanan, takkan mereka tidak tahu berapa banyak saya gunakan sebelum ini.
"Saya dan isteri hanya gunakan untuk mandi dan memasak sahaja malah tidak pula kami gunakan untuk membasuh kereta atau menyiram pokok," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim Mat Sudin, 58 berkata, sejak tinggal di situ hampir 22 tahun, mereka tidak pernah mengalami masalah seumpama itu.
"Sejak Oktober tahun lalu ia berlaku dan ramai penduduk melahirkan rasa tidak puas hati dengan caj tersebut kerana rata-ratanya golongan yang berpendapatan rendah.
"Kami juga tidak tahu sama ada lebihan caj tersebut akan dipulangkan atau sebaliknya," katanya.
Bagi seorang lagi penduduk yang enggan dikenali, mengakui beruntung kerana hanya membayar RM25 sebulan biarpun menggunakan lebih daripada itu untuk tujuan berniaga.
"Sekarang ini rasa beruntung tetapi pada masa yang sama risau kerana tidak tahu sama ada perlu membayar balik atau tidak apabila sistem bil air tersebut kembali operasi nanti.
"Jadi kami mahu DBKL segera memberi penjelasan mengenai perkara ini," kata peniaga makanan itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment