My Add

Saturday, 19 May 2012

Potensi perniagaan lebih luas

*HAFSAH Hashim bersama Mohamed Al Amin Abdul Majid menunjukkan reka letak pameran SMIDEX 2012 pada majlis prapelancaran pameran itu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Mei, 2012: SME Corporation Malaysia Bhd. (SME Corp) menyasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus bagi nilai potensi perniagaan sempena pameran inovasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) (SMIDEX 2012) berbanding RM194 juta yang telah dicapai tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, peningkatan itu dijangka berlaku hasil peningkatan penyertaan peserta pameran antarabangsa.

Katanya, pada tahun ini, SME Corp turut menjemput negara-negara lain selain ASEAN untuk menyertai SMIDEX 2012 seperti India, Korea, Syria dan Jepun.

"Jika tahun lalu kami membawa masuk penyertaan negara-negara ASEAN dan China, pada tahun ini kami menjemput negara-negara ASEAN dan lain-lain.

"SMIDEX 2012 dijangka melibatkan penyertaan sebanyak 350 peserta kesemuanya," katanya dalam majlis prapelancaran SMIDEX 2012 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SME Corp., Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Hafsah berkata, SMIDEX 2012 dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 20 Jun ini.

Selain syarikat PKS, syarikat-syarikat lain yang turut dijemput menyertai pameran itu adalah Proton Holdings Bhd., Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., Celcom (M) Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Malaysian Industrial Development Finance Bhd. dan RHB Bank Bhd..

Kemuncak SMIDEX 2012 adalah Anugerah Inovasi PKS 2012 yang merupakan majlis pengiktirafan terhadap usaha inovasi syarikat PKS tempatan.

PKS yang paling inovatif dari enam kategori yang dipertandingkan berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1 juta. Majlis anugerah itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain majlis anugerah, SME Corp turut mengadakan Persidangan PKS ASEAN-India 2012 yang mana ia menjadi platform terbaik bagi para peserta memahami peluang dan cabaran pasaran di India.

Maklumat lanjut mengenai SMIDEX 2012 boleh didapati menerusi laman web www.smidex.my atau di laman sosial Facebook iaitu www.facebook.com/smidex. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment