My Add

Thursday 10 May 2012

Peneroka Sungai Koyan terima cek esok

KUALALIPIS, RABU, 0 9 Mei, 2012: Seramai 851 peneroka Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 dekat sini akan menjadi kumpulan peneroka pertama di negeri ini menerima bayaran durian runtuh RM5,000 yang akan disampaikan kepada mereka, esok.

Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Jainal berkata, bayaran fasa pertama cek itu akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail pada pukul 2.30 petang esok.

Sehubungan itu, seramai 313 peneroka dari Felda Sungai Koyan 1, 260 (Sungai Koyan 2) dan 278 (Sungai Koyan 3) telah dijemput menghadiri majlis penyampaian cek berkenaan di Dewan Felda Sungai Koyan 2.

Wilayah Mempaga mempunyai 13,102 peneroka melibatkan 37 tanah rancangan di tujuh kawasan Parlimen iaitu Temerloh, Bera, Lipis, Raub, Bentong, Cameron Highlands dan Kuala Krau.

"Jumlah bayaran fasa pertama untuk Wilayah Mempaga ini melibatkan kira-kira RM65.6 juta. Untuk peneroka di tanah rancangan lain, kita akan tentukan tarikhnya kemudian tetapi tidak melebihi dua minggu daripada pengumuman Perdana Menteri semalam," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembayaran durian runtuh fasa pertama kepada ketua keluarga peneroka sebanyak RM5,000 akan dibuat dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman semalam.

Bayaran fasa kedua iaitu untuk isteri peneroka pula dibuat selepas pembayaran fasa pertama selesai manakala untuk generasi kedua dibuat selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dijadualkan bulan depan.

Kata Jahya, majlis penyampaian durian runtuh itu mirip pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan disempurnakan oleh wakil rakyat mengikut kawasan yang diwakili.

Menurutnya, antara lokasi pembayaran fasa pertama bagi Wilayah Mempaga ialah di Felda Bukit Damar dan Felda Lakum yang akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin pada Sabtu ini.

"Cuma berbeza dengan BR1M, baucar penerima boleh ditunaikan pada majlis penyerahan itu, namun untuk peneroka, mereka harus ke bank untuk tunaikan cek kerana jumlahnya banyak," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, bayaran durian runtuh RM5,000 kepada 14,957 keluarga peneroka di wilayah itu yang bernilai RM74.8 juta akan dibuat mulai Isnin ini.

"Satu majlis khas pembayaran cek akan dilakukan wakil rakyat mengikut kawasan Parlimen masing-masing yang mana Wilayah Jengka meliputi tiga buah Parlimen iaitu Jerantut, Kuala Krau dan Maran," katanya.

Tambah beliau, bayaran itu hanya diberi kepada peneroka sahaja dan tidak membabitkan mereka yang membeli tanah milik peneroka.

Sementara itu, Pengurus Besar Felda Wilayah Kuantan, Ghani Ali berkata, pembayaran kepada peneroka akan dilaksanakan di lima kawasan Parlimen di wilayah ini dengan Parlimen Paya Besar akan disampaikan pada Rabu ini.

"Tarikh pembayaran cek untuk empat Parlimen lain iaitu Rompin, Jerantut, Maran dan Pekan masih belum ditentukan,'' ujarnya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peneroka di Wilayah Kuantan ialah seramai 15,050 orang yang melibatkan 42 tanah rancangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment