My Add

Wednesday 9 May 2012

Dilarang import sarang burung walit Indonesia

PUTRAJAYA, RABU, 09 Mei, 2012: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan sebarang pengimportan sarang burung walit dan produknya dari Indonesia.

Ia berikutan negara itu masih belum bebas daripada ancaman selesema burung, kata beliau pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertanian Republik Indonesia sebelum ini yang mendakwa kebanyakan sarang burung walit dan produk yang dihasilkan adalah melalui negara ketiga termasuk Malaysia adalah tidak tepat.

"Saya membuat kenyataan ini supaya tidak timbul salah tanggapan seolah-olah sarang burung Indonesia ini, kalau nak pergi ke China melalui Malaysia kerana China pun tahu sarang burung walit kita adalah bebas daripada wabak selesema burung," kata beliau.

Melalui penjelasan itu, beliau berharap kerajaan China akan memahami situasi sebenar kerana kerajaan amat mengambil berat terhadap kualiti sarang burung walit yang akan dieksport ke China.

"Salah satu syarat kita letak adalah sistem daya jejak bermakna sebelum kita eksport kita akan kesan daripada mana sarang burung itu dan ia mesti dari rumah yang berdaftar dengan kita," kata Noh.

Sementara itu, Noh berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) masih menunggu maklum balas dari Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ) dari China mengenai draf protokol yang dihantar Mac lepas.

Katanya pihak AQSIQ sedang meneliti draf berkenaan bersama pakar-pakar di negara itu dan sebelum ditandatangani antara kedua-dua negara untuk menyelaraskan pengeksportan sarang burung walit ke China.

Dalam kunjungannya ke China pada 13 Mei ini untuk merasmikan Festival Makanan Halal Xian-Malaysia, Noh juga berharap dapat bertemu menteri AQSIQ bagi mendapatkan kebenaran sementara mengeksport sarang burung walit Malaysia ke negara itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment