My Add

Saturday 5 May 2012

Permohonan kerajaan batal saman 11 Jun

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 Mei, 2012: Dakwaan berhubung perbuatan salah laku berunsur khianat, penipuan dan salah guna kuasa yang kononnya dilakukan oleh Perdana Menteri dan kesemua bekas Perdana Menteri hanya merupakan tohmahan semata-mata.

Pernyataan yang dibuat tanpa sebarang asas itu menuntut beban pembuktian yang kukuh dan khusus kepada pihak yang melemparkan tohmahan tersebut.

Perkara itu antara yang terkandung dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman yang difailkan oleh seorang bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Januari lalu.

Tengku Zainal Abidin Tengku Yusoff, 58, yang mendakwa mewakili 403 pegawai dalam perkhidmatan dan yang telah bersara daripada ATM menamakan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan enam yang lain dalam saman tersebut termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia atas dakwaan salah laku penjawat awam sehingga menjatuhkan maruah kor pegawai ATM.

Selain Najib, beliau menamakan kesemua bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Datuk Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai defendan kedua.

Tengku Zainal Abidin selaku pihak plaintif turut menamakan Ketua Setiausaha Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura sebagai defendan ketiga hingga ketujuh.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, saman itu berkaitan kecacatan, keanehan dan ketidakseimbangan dalam perhubungan antara sivil dan tentera di negara ini serta salah laku berunsur khianat dan penipuan oleh defendan-defendan dari 16 September 1963 hingga 16 September 2013 terhadap kor pegawai ATM.

Menurut beliau, penipuan itu dilakukan dengan cara memotong kuantum gaji kor pegawai supaya menjadikan status mereka lebih rendah daripada pegawai awam lain dalam sektor awam.

Pernyataan pembelaan oleh defendan kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam itu difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan pada 12 April lalu.

Selain pernyataan pembelaan, pihak defendan berkenaan turut memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut pada 19 April lalu.

Ia atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan yang munasabah, remeh dan menyusahkan selain menyalah guna proses mahkamah.

Defendan tersebut tidak termasuk Kuan Yew dan Kerajaan Singapura, turut menuntut pihak plaintif membayar kos permohonan tersebut dan segala kos berbangkit selaras dengan peruntukan Seksyen 2(b) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Kes saman itu yang sebelum ini ditetapkan di hadapan Hakim Datuk V.T. Singham bagaimanapun kini dikendalikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera.

Ketika pengurusan kes saman itu, Vazeer Alam menetapkan 11 Jun depan untuk mendengar permohonan kerajaan bagi membatalkan saman tersebut.

Writ saman diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Singapura serta Kuan Yew semalam.

Pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan memohon ganti rugi am, berat dan punitif RM3 juta bagi setiap 404 pegawai ATM yang terlibat.

No comments:

Post a Comment