My Add

Saturday 12 May 2012

Sistem pendidikan setaraf negara maju perlu masa: Muhyiddin

SHAH ALAM, SABTU, 12 Mei, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan negara setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik.

"Walaupun begitu perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan lagi, institusi pendidikan kita yang sedia ada akan dapat kita perlengkapkan lagi dan sebagainya," katanya ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara yang mundur atau ke belakang.

Muhyiddin berkata, penanda aras sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding di peringkat antarabangsa.

"Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, sudah dapat melahirkan generasi Malaysia yang dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini.

"Tiada siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan menerusi sistem pendidikan kita. 

"Namun pengharapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di negara maju di dunia pada hari ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.

“Mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta tampil untuk mengemukakan idea dan cadangan yang bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu berkenaan di luar platform yang disediakan.

“Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar sekolah.

"Kita juga fikirkan persoalan yang tidak kurang penting tentang kurikulum dan sistem pentaksiran untuk menentukan bahawa segala apa yang kita ada di sekolah ini dapat diukur dengan satu ukuran yang agak betul untuk melihat sejauh mana anak kita sudah berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Muhyiddin berkata, kajian itu juga melihat bagaimana untuk memantapkan sistem organisasi dan sistem penyampaian kementerian, peranan kementerian dan jabatannya di peringkat negeri, daerah dan seterusnya di peringkat sekolah.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong yang mempunyai 2,510 murid dalam dua sesi persekolahan.

Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong dibuka pada 2002 dengan 79 murid. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment