My Add

Wednesday 9 May 2012

Tapak loji pencerna anaerob diumumkan akhir tahun ini

PUTRAJAYA, RABU, O09 Mei, 2012 Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara sedang mengenal pasti tapak di Kuala Lumpur untuk pembinaan loji pencerna buangan anaerob bagi merawat sisa makanan dari hotel dan restoran. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Nadzri Yahaya, berkata tapak itu akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

"Kami sedang mencari lokasi strategik di Kuala Lumpur. Kami menghadapi masalah mengenal pasti kawasan yang sesuai memandangkan kami perlu mengambil kira jarak, laluan dan impak ke atas alam sekitar, selain kesediaan tapak.

"Kami juga berharap reka bentuk loji itu disiapkan akhir tahun ini. Kami mahu melantik kontraktor untuk membina loji berkenaan," katanya. 

Nadzri berkata, loji pencerna buangan anaerob yang dibina menerusi inisiatif pembiayaan swasta itu, akan mempunyai kapasiti minimum mencerna 50 tan sisa makanan. 

“Kos pembinaannya bergantung kepada cadangan yang setakat ini belum ditetapkan,” katanya. 

Pembinaan loji itu adalah antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi sembilan projek permulaan Bidang Ekonomi Utama Negara Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Kajian mengenai sisa makanan yang dijalankan oleh jabatan itu dan dirumuskan November lalu, mencadangan pendekatan bersesuaian untuk merawat sisa makanan seperti kemudahan biogas. 

Objektif kajian itu ialah merangka pelan sumber komersil bagi merawat sisa makanan dari kedai makanan, kilang dan restoran, mengenal pasti sisa yang dijana dan sistem pelupusan sisa. 

Terdapat empat inisiatif utama bagi mencergaskan pengurusan sisa pepejal yang bertumpu terhadap pembangunan ekosistem pengurusan sisa pepejal yang cekap. 

Inisiatif pertama membabitkan gesaan pelaksanaan kempen pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula dengan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding lima peratus ketika ini. 

Sasaran itu boleh dicapai menerusi pengenalan sistem pereputan dan pencernaan anaerob bagi menangani paras tinggi sisa organik dan merangsang kitran semula sisa yang dikumpul menggunakan sistem yang bersesuaian, selain kemudahan kitar semula. 

Inisiatif kedua dan ketiga pula membabitkan usaha meningkatkan kapasiti rawatan sisa bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dilupus secara kambus tanah selain meningkatkan tadbir urus pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan awam. 

Inisiatif akhir pula membabitkan gesaan supaya penilaian dilakukan ke atas memanfaatkan potensi masa depan pembangunan baru dalam teknologi sistem pengumpulan sisa dan tong sampah bagi meningkatkan standard pengumpulan sampah. 

Nadzri berkata, setakat ini 54 peratus daripada isi rumah di Kuala Lumpur disediakan tong sampah yang akan dikutip dua kali seminggu. 

Beliau berkata, setakat 30 April Alam Flora mengagihkan 153,000 unit daripada tong berkapasiti 120 liter kepada isi rumah. 

"Pengedaran tong sampah dan pemisahan sisa pepejal di peringkat sumber itu disasarkan selesai menjelang 1 September tahun ini," katanya. 

Nadzri berkata, penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 pada 1 September tahun lalu membolehkan pengurusan sisa pepejal ditangani secara lebih menyeluruh menerusi penjanaan sisa kepada pengumpulan, rawatan dan pelupusan dengan penekanan terhadap pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula. 

“Penswastaan kutipan sampah di Kuala Lumpur akan berjalan sepenuhnya pada 1 September tahun ini,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment