My Add

Friday 18 May 2012

TPM: Irene Fernandez tidak berakhlak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Mei, 2012 Tindakan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez yang berterusan memburukkan dan memfitnah negara membuktikan beliau seorang yang tidak berakhlak serta tidak setia kepada tanah air sendiri.

Sambil mengecam tindakan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbuatan itu yang dilakukan tanpa berpandukan fakta juga adalah tidak bermoral.

"Dia (Irene) seorang rakyat Malaysia tetapi tidak pernah menunjukkan kesetiaan kepada negara. Dia mendakwa dirinya seorang pejuang tetapi tindakan itu menunjukkan beliau seorang yang tidak berakhlak dan tidak bermoral.

"Apakah dia tidak sedar yang kenyataannya memburukkan negara sendiri mengecewakan seluruh rakyat Malaysia? Kenapa tidak berpandukan fakta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Irene yang berterusan memburukkan Malaysia dengan yang terbaru dia mendakwa rakyat Bangladesh sentiasa ditindas oleh pihak berkuasa di negara ini.

Muhyiddin seterusnya menyangkal semua tuduhan Pengarah Eksekutif Tenaganita itu dan berkata, beliau baru sahaja berjumpa dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Seberang Laut Bangladesh, Khandker Mosharraf Hossain.

"Beliau datang jumpa saya dan memohon agar kita menimbang semula tindakan membeku pengambilan pekerja asing dari Bangladesh. Kalau kita ini negara yang tidak adil, kenapa mereka mohon kita pertimbangkan semula?

"Irene buat kenyataan tanpa berdasarkan realiti. Kalau hanya satu dua kes, ia tidak menggambarkan sikap rakyat Malaysia yang sebenar, jadi apa muslihat Irene? Hanya mahu memburukkan Malaysia," tegas beliau.

Ditanya mengenai tindakan tegas ke atas Irene, Timbalan Perdana Menteri berkata, orang ramai yang perlu membuat penilaian kerana pihak yang dituduh secara langsung oleh Pengarah Eksekutif Tenaganita itu adalah rakyat.

Sebelum ini, ketika ditemubual akhbar Jakarta Post, Irene mendakwa majikan di Malaysia melanggar undang-undang dan terbabit dalam rasuah selain anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sering mengugut pekerja asing. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment