TANAH MERAH, JUMAAT, 18 Mei, 2012: UMNO Bahagian Tanah Merah menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 untuk menambah baik Masjid Kampung Manal 1 seperti yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan beliau ke daerah ini tahun lalu.
Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, wang itu dimohon ahli jawatankuasa masjid tersebut kepada beliau yang kemudiannya dikemukakan kepada Muhyiddin untuk dipertimbangkan.
"Ketika itu masjid ini memohon dana memperbaiki tandas dan tempat wuduk yang rosak dan ia ditunaikan pemimpin kita yang datang ke sini.
"Kali ini masjid ini turut mengemukakan beberapa permohonan lain dan saya berjanji akan berusaha mencari sumber dana untuk membolehkan mereka menerima wang itu," katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama jemaah Masjid Kampung Manal 1, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan cek sumbangan itu kepada imam masjid berkenaan, Yusof Hussin.
Ikmal Hisham berkata, sebagai pemimpin tempatan, beliau akan menerima setiap permohonan daripada rakyat dan akan mempertimbangkannya demi kebaikan semua pihak.
Dalam perkembangan lain, kata beliau, penduduk Tanah Merah mendapat khabar gembira apabila Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor meluluskan pembinaan Pusat Anak Permata Negara di daerah itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment