My Add

Saturday 12 May 2012

UMNO tetap relevan bela nasib Melayu: Ibrahim Ali

KOTA BHARU, JUMAAT, 11 Mei, 2012: Sebagai parti politik utama yang telah membawa perubahan besar kepada Malaysia sejak merdeka, UMNO tetap relevan dan diperlukan untuk membela nasib rakyat negara ini yang masih dahagakan sokongan penuh kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, meskipun begitu, pembaharuan dan penambahbaikan dalam parti itu amat kritikal untuk memastikan ia kekal relevan terutama sekali di kalangan pemimpin akar umbinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini kerana katanya, pelbagai pelan transformasi yang dicanang Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan berkesan sekiranya apabila tiba waktu pilihan raya, calon UMNO yang bertanding tewas kerana tidak disukai rakyat.

Justeru tegasnya, setiap calon UMNO yang akan bertanding mestilah individu yang bersih, tidak ego, tidak angkuh serta mempunyai kehidupan keluarga yang baik agar tidak timbul isu mengenai peribadi mereka yang boleh dimanipulasi.

"UMNO akan tetap relevan jika parti yang merupakan pertubuhan Melayu ini terus memperjuangkan hak orang Melayu, bumiputera dan kaum lain atas nama mereka adalah parti kerajaan yang memerintah.

"Namun mengungkapkan kata-kata tokoh sarjana Islam, Ibnu Khaldun, setiap perkara apa sekalipun usianya hanya akan mencecah setengah abad atau 50 tahun dan selepas itu ia memerlukan satu perubahan besar terutama dalam soal pemasaran,'' jelasnya.

"Lebih-lebih lagi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pelbagai persepsi mengatakan UMNO dibarisi pemimpin-pemimpin yang rasuah dan persepsi ini perlu diubah dengan mencari wakil rakyat yang bersih. Jangan sampai kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas dan berjuang bersama parti itu suatu ketika dulu mengutarakan pendapat beliau sempena ulang tahun ke-66 penubuhan UMNO hari ini.

Meskipun beliau telah dipecat daripada parti itu pada tahun 2003, menurut Ibrahim, pemecatan itu telah membuka matanya kerana dengan berada di luar UMNO beliau dapat melihat dengan lebih jelas masalah yang timbul di dalam parti itu.

Jelasnya, UMNO tidak dapat lari daripada beban sebagai parti pemerintah iaitu rakyat akan bercakap mengenai peribadi seseorang pemimpin kerajaan berbanding pemimpin parti pembangkang.

"Kalau parti pembangkang letak 10 calon, meskipun lapan daripadanya tidak elok namun rakyat tidak melihat itu kerana bila pilihan raya mereka hanya akan bercakap pasal siapa calon kerajaan.

"Maka sebab itu penting pada pilihan raya umum kali ini, untuk kekalkan kuasa Najib tidak boleh membiarkan hatta setitik pun nila yang akan merosakkan susu sebelanga," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment