My Add

Thursday 27 December 2012

1.5 juta pelajar dilindungi insurans

Oleh ROZIANAH RISMAN

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Disember, 2012: Kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah bakal dilindungi insurans berkuat kuasa Januari depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya telah membuka tender menawarkan pakej perlindungan insurans kepada pelajar itu kepada syarikat yang berminat.

"Syarikat insurans akan diminta membentangkan syor atau cadangan mereka berhubung pakej yang ditawarkan meliputi insurans kehilangan nyawa dan kemalangan diri.

"Syarikat insurans yang menawarkan pakej terbaik dan memenuhi syarat SPAD akan dipilih mendapatkan tender tersebut.

"Kita sasarkan apabila sekolah dibuka tahun depan, semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan diinsuranskan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan,'' katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat penyelaras bersama pengusaha bas di Ibu Pejabat SPAD, di sini hari ini.

Dalam Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit.

Skim yang memanfaatkan dua juta pelajar dan murid itu menyediakan perlindungan maksimum RM100,000 dengan kos premium RM40 juta untuk tempoh dua tahun yang akan diselia SPAD.

Dalam masa sama, menurut Syed Hamid, SPAD sedang meneliti dan mengkaji model baharu bagi mengintegrasikan perkhidmatan bas dalam bandar di seluruh negara.

Katanya, model baharu itu bertujuan menambah baik dan melebarkan perkhidmatan bas di seluruh negara secara berkesan.

Menurut beliau, SPAD sedang bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pahang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas di peringkat negeri sebelum dilaksanakan di seluruh negara.

"Kerjasama itu turut melibatkan Majlis Perbandaran Temerloh dan Bentong bagi membincangkan tentang sistem pengangkutan awam yang berkesan dan mapan.

"Perbincangan akan dijalankan bagi menentukan pembiayaan yang diperlukan serta mengenal pasti langkah-langkah meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam dan frekuensi perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan dana sebanyak RM63.4 juta bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Banyak syarikat bas henti-henti berhadapan masalah memandangkan perkhidmatan itu bukan perniagaan menguntungkan.

"Menerusi dana ini, kerajaan dapat membantu pengusaha bas henti-henti menjalankan operasi dan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment