My Add

Wednesday, 26 December 2012

Jentera penerangan UMNO beri penekanan tiga objektif utama

PUTRAJAYA, RABU, 26 Disember, 2012: Jentera Penerangan UMNO menggariskan pelbagai strategi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini dengan memberi penekanan kepada tiga objekif utama iaitu berusaha memenangkan Barisan Nasional (BN) dengan mendapat dua pertiga majoriti, menawan empat negeri yang ditadbir pembangkang, dan menambah undi popular.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pelbagai aspek strategi dan objektif jentera dibincangkan dengan menyeluruh pada majlis Pemukiman Pemantapan Profesionalisme, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Penerangan (KKRP) di Melaka yang berakhir awal minggu ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dalam menghadapi PRU-13, dengan ruang gerak kerjanya bukan hanya bertumpu kepada sesi ceramah semata-mata, tetapi juga merangkumi kursus, bengkel, penyebaran makalah, gerak saraf, inisiatif media maya, majlis perjumpaan, penerangan dan sebagainya.

"Semua persiapan sudah dibuat, ada gerak kerja yang sedang digerakkan, di samping masih ada ruang untuk merancang lagi apa yang akan dilaksanakan, dan semua ini akan hanya berakhir pada hari keputusan pilihan raya diumumkan nanti," katanya pada satu persidangan media di pejabatnya di sini.

Dari segi memenangi dua pertiga majoriti, Ahmad Maslan berkata, beliau yakin ia boleh dicapai kerana BN hanya perlu memenangi paling minimum lapan kerusi lagi untuk ditambah kepada 140 kerusi yang dimenanginya pada PRU-12, bagi mencapai jumlah dua pertiga daripada 222 kerusi yang dipertandingkan, dengan syarat tiada pihak yang bertindak 'mensabotaj' parti.

Katanya, beliau yakin sekurang-kurangnya 20 kerusi yang dikuasai pakatan pembangkang boleh dirampas oleh BN nanti, dengan masing-masing lima lima dari PAS dan DAP dan 10 dari PKR.

Ahmad Maslan berkata, pada pilihan raya umum 2008, beliau melihat para pengundi di beberapa negeri beralih angin kerana termakan dengan janji-janji yang ditabur pakatan pembangkang, namun kini selepas melihat kepada apa yang berlaku di negeri-negeri yang ditadbir mereka, beliau yakin ramai pengundi akan kembali kepada BN.

Beliau memberi contoh negeri Selangor yang menurutnya gagal menunaikan pelbagai janji, mengakibatkan banyak pihak bangun membuat tuntutan, sehingga membawa perkara itu ke mahkamah.

"Di pihak BN pula tidak ada sesiapa pun yang nak saman kita kerana tidak tunai janji, semua janji ditepati. Sekarang mereka nak mengelak pula dengan mengatakan manifesto pilihan raya mereka itu bukan janji. Apa ini?" katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment