My Add

Thursday 27 December 2012

Teroka pasaran UAE

MALAYSIA menghasilkan teh bermutu tinggi, sama ada dari tanah tinggi Sabah atau Cameron Highlands. - Gambar HIASAN
KUALA LUMPUR, RABU, 26 Disember, 2012: Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menawarkan potensi yang sangat besar bagi pengeksport teh dan kopi negara ini untuk meneroka pasaran rantau Asia Barat, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Negara itu merupakan pengimport teh kedua terbesar di dunia selepas Rusia sejak empat tahun lalu, dengan peningkatan import daripada AS$324 juta (AS$1 > RM3.07) pada 2007 kepada AS$485 juta pada 2011.

"Sejajar dengan itu, agihan import teh dunia UAE meningkat daripada 8.3 peratus kepada 9.4 peratus dalam tempoh yang sama," kata Matrade dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, Sri Lanka ialah pembekal terbesar teh kepada UAE dan menguasai 20 peratus keseluruhan import teh di emiriyah itu, diikuti oleh India, dengan lapan peratus.

Matrade berkata, UAE juga ialah pengeksport semula teh yang terkemuka di dunia dan menguasai 60 peratus pasaran eksport semula teh dengan agihan pasaran bernilai AS$48 juta pada 2011.

Ia berkata, Pusat Pelbagai Komoditi Dubai (DMCC) misalnya merupakan satu kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan teh yang besar, peralatan mencampur dan membungkus, serta pejabat-pejabat syarikat teh.

Negara itu juga mempunyai sebuah unit uji rasa untuk mengkategorikan teh yang tiba dari luar negara, satu perkhidmatan yang menambah nilai kepada teh yang dieksport semula.

UAE juga merupakan pengeksport semula kopi kelima terbesar di dunia dengan nilai AS$6.2 juta pada 2011, meningkat sebanyak 32 peratus daripada 2010.

Sebanyak 81 peratus daripada eksport semula teh dan kopi UAE adalah ke Iran.

"Pengeksport UAE sedang meneroka pasaran-pasaran baharu untuk mengekalkan kedudukan terkemuka negara itu dalam perdagangan teh, dan pengeksport Malaysia harus merebut peluang ini untuk meningkatkan eksport masing-masing," tegas Matrade. - Bernama

No comments:

Post a Comment