My Add

Thursday, 27 December 2012

Banjir terburuk sejak 45 tahun

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

 *IDRISJusoh (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong menyembur air paip bomba bagi membersihkan kawasan masjid di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Terengganu, semalam. - BERNAMA

BESUT, RABU, 26 DisEMBER, 2012: Penduduk Kampung Padang Bual dekat sini menyifatkan banjir yang melanda kampung mereka kali ini adalah yang paling buruk sejak 45 tahun lalu.

Paras air yang naik mendadak menyebabkan ramai penduduk terpaksa meninggalkan rumah sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri dan keluarga apatah lagi setelah dimaklumkan bahawa empangan Paya Peda yang terletak kira-kira enam kilometer dari kampung mereka pecah.

Seorang penduduk, Ghazali Idris, 59, berkata, hujan lebat sejak awal pagi kelmarin menyebabkan paras air yang berlumpur mula naik pada pukul 4 petang dan dua jam kemudian meningkat dengan mendadak sehingga mencemaskan dia dan keluarganya.

Ekoran keadaan itu, dia menyuruh isterinya Hasnah Awang, 56, dan seorang anak lelakinya berpindah ke tempat selamat tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barangan rumah.

"Selepas memastikan keluarga selamat, saya panjat ke atas siling rumah dan tidak menyangka air naik dengan cepat sehingga saya diselamatkan oleh petugas banjir menggunakan bot.

"Banyak peralatan rumah termasuk perabot, pakaian, peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan tetapi saya tetap bersyukur kepada Allah kerana keluarga semua selamat," katanya.

Ghazali ditemui selepas menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad yang melawat mangsa banjir di kampung itu hari ini.

Sebelum itu, dia bersama penduduk kampung yang lain menyertai Program Gotong-Royong anjuran Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut, Gerakan Belia 4B dan Kor Tani Pertubuhan Peladang Kawasan Gerai membersihkan kawasan masjid di kampung tersebut akibat banjir.

Kebanyakan penduduk bersama ahli keluarga mereka turut mengambil peluang tersebut untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment