My Add

Monday 31 December 2012

Kerjasama semua pulih penggunaan bahasa

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Disember, 012: Satu bentuk kerjasama antara pelbagai pihak perlu diwujudkan bagi membantu memulihkan penggunaan bahasa yang tidak mengikut kaedah betul berikutan perkembangan dalam teknologi maklumat.

Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, generasi muda tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana kekangan teknologi yang memaksa mereka menulis ejaan secara ringkas.

Sehubungan itu, jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing termasuk syarikat telekomunikasi bagi menetapkan kadar lebih rendah jika pengguna menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) melebihi satu halaman.

''Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana penggunaan bahasa ringkas boleh mencacatkan bahasa rasmi negara dan menjadi tugas kita untuk memartabatkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bahawa kerajaan memandang serius penggunaan bahasa serta ejaan ringkas yang tidak mengikut kaedah betul hasil perkembangan pesat bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana bahasa serta ejaan ringkas yang banyak digunakan dalam SMS kini mula dipakai secara meluas termasuk dalam aktiviti pembelajaran serta peperiksaan di institusi pendidikan.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, kerajaan perlu bertegas menghalang penggunaan bahasa secara salah dengan memulakan usaha itu di semua institusi pendidikan.

Katanya, langkah itu penting supaya semua pihak akan berasa bangga dengan bahasa kebangsaan yang merupakan bahasa ketiga terbanyak digunakan di seluruh dunia.   UTUSAN

No comments:

Post a Comment