My Add

Thursday 27 December 2012

ETP tingkat sektor pembinaan

*PEMANDANGAN sebuah kondominium yang terletak *berhampiran Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur yang menjadi lambang kemajuan industri pembinaan negara. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Disember, 2012: Projek mega di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dijangka meningkatkan sektor pembinaan pada 2013 dengan unjuran pertumbuhan 11.5 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Alliance Research Sdn. Bhd. menyatakan, sejumlah 149 projek telah diumumkan dengan pelaburan komited sebanyak RM212 bilion dan dijangka menjana pendapatan negara kasar berjumlah RM137.6 bilion pada 2020 serta mewujudkan 410,892 pekerjaan.

"Sektor pembinaan berkemungkinan menerima manfaat yang paling banyak daripada pelaburan ETP dengan jangkaan kadar pertumbuhan 11.5 peratus pada 2013.

"Walaupun sektor pembinaan agak kecil pada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan, kesan pengganda daripada sektor ini adalah tinggi memandangkan hubungannya kepada subsektor utama ekonomi yang lain," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) berkata, kerja-kerja pembinaan akan terus datang daripada projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, ETP, Projek Permulaan, Greater Kuala Lumpur, Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Bandar.

Menurut MBAM, bagi memastikan penyiapan projek mengikut jadual, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerja rapat untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan tepat pada masanya kerana kos akan meningkat jika ditangguhkan.

Persatuan itu juga menggesa sektor awam dan swasta supaya bekerja rapat untuk menghapuskan masalah dalam bekalan, terutamanya buruh asing berkemahiran, bagi membolehkan sektor itu kekal teguh dan terus memacu ekonomi tempatan.

Bagi kontraktor tempatan untuk kekal berdaya saing berbanding kontraktor asing, adalah penting bagi mereka menjalankan usaha berterusan untuk meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan - termasuk mempunyai skim akreditasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan memenuhi piawaian bertaraf dunia, katanya.

"Sebagai sebahagian daripada proses pembinaan yang lebih luas dan berkait dengan pembina atau kontraktor, terdapat keperluan untuk mengintegrasikan industri ini secara komprehensif.

"Mereka juga perlu menggunakan kaedah baharu pembinaan dengan lebih cekap, amalan dan teknologi terkini bagi mencapai kualiti kerja yang tinggi, setanding atau lebih baik daripada kontraktor asing.

"Perniagaan dan organisasi kita perlu mematuhi piawaian tertinggi akauntabiliti dan integriti yang merupakan faktor kejayaan penting dalam meningkatkan keyakinan pasaran global dari segi kualiti, integriti dan produktiviti," katanya.

Persatuan itu berkata, kerajaan boleh menggalakkan lebih ramai kontraktor agar beralih kepada 'bangunan hijau' dengan menimbangkan geran untuk pembangunan teknologi dan 'produk hijau,' selain daripada memberi tumpuan kepada insentif cukai.

Mengenai masa hadapan, persatuan itu berkata, masalah kekurangan pekerja mahir dan tidak mahir akan membebankan industri pembinaan.

"Pada masa ini, terdapat keperluan kritikal untuk menambah jumlah tenaga kerja pembinaan, memandangkan majoriti pekerja sudah berumur.

"Dianggarkan bahawa 35.1 peratus pekerja binaan tempatan akan mencapai umur 50 tahun dan ke atas dalam masa lima tahun dari sekarang.

"Kerajaan perlu menyediakan pelan strategik jangka panjang untuk menangani masalah ini," katanya.

MBAM berharap kerajaan akan membenarkan pengimportan pekerja asing dari lebih banyak negara sumber dalam ASEAN, China dan India untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan berterusan untuk pekerja-pekerja binaan, terutamanya bagi projek MRT dan projek mega lain.

"Kerajaan juga perlu perlu serius mempertimbangkan untuk melanjutkan permit bekerja pekerja mahir asing selama lebih daripada 10 tahun.

"Walaupun terdapat keperluan untuk mengehadkan bilangan pekerja asing, batasan pekerja asing di negara ini secara beransur-ansur mestilah diseimbangkan dengan keperluan menyediakan jumlah pekerja binaan mahir yang mencukupi supaya mereka boleh menyumbang kepada ekonomi," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment