My Add

Wednesday 26 December 2012

Kementerian diminta pertimbang kadar yuran sama untuk pelajar Palestin

GEORGETOWN, RABU, 26 Disember, 2012:: Permohonan bagi mengenakan kadar bayaran yuran sama seperti pelajar tempatan kepada pelajar warga Palestin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di sini akan dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam tempoh terdekat.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Omar Osman, berkata permohonan itu yang disampaikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush diharap akan dipertimbangkan untuk meringankan beban kewangan pelajar berkenaan memandangkan negara mereka sedang menghadapi pergolakan ketika ini.

"Yuran yang dikenakan kepada mereka (pelajar Palestin) bagi mengikuti pengajian di sini agak tinggi. Perkara ini akan dikemukakan kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan.

"Mungkin ia boleh dilaksanakan untuk tempoh beberapa tahun yang boleh meringankan sedikit beban kewangan pelajar Palestin," katanya kepada pemberita ketika mengulas permohonan yang dikemukakan oleh Abdelaziz, hari ini.

Abdelaziz membuat permohonan itu dalam ucapan pada majlis penyampaian baucer buku bernilai RM200 kepada 70 orang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pelbagai pengajian di USM, di sini.

Omar berkata, pelajar berkenaan boleh menggunakan baucer buku itu di koperasi USM dan berharap usaha USM ini akan menjadi contoh kepada IPTA dan IPTS lain dalam usaha membantu meringankan beban pelajar Palestin.

"Usaha ini sebagai sebahagian daripada tanda sokongan terhadap mereka, walaupun pengorbanan ini tidak besar tetapi ia merentasi agama dan bersifat kemanusiaan.

"Inilah sumbangan orang muda Malaysia kepada orang muda Palestin di sini dan diharapkan sumbangan seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Omar berkata, setakat ini USM berjaya mengumpul dana RM700,000 untuk Tabung Pendidikan Palestin sejak dilancarkan bulan lalu. Semua sumbangan diperoleh daripada pelbagai program pelajar USM, sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan melalui potongan gaji kaki tangan universiti itu.

"Setakat ini seramai 80 orang kaki tangan USM terbabit dalam membuat potongan RM20 sebulan. Mungkin ada ramai lagi yang akan turut serta membuat sumbangan selepas ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment