Wakil luar termasuk Rusia berminat kukuh hubungan dua hala pada 2013
KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Disember, 2012: Wakil-wakil negara asing berminat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia pada 2013 berikutan kejayaan yang terjalin pada 2012.
Duta Besar Rusia ke Malaysia, Lyudmila G.Vorobyeva optimis bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia akan bertambah kukuh tahun depan.
Beliau berkata, tahun 2012 adalah tahun kejayaan terutama dengan pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada September yang telah mencapai kejayaan.
Pertemuan itu berlangsung semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Vladivostok.
"Adalah diharapkan, hubungan dua hala yang kukuh akan terus terjalin pada 2013. Kami menaruh harapan kepada lebih banyak pertukaran lawatan terutama di peringkat tertinggi," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pada tahun 2012, lebih daripada 3,000 penuntut Malaysia telah pergi ke Rusia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Sebagai tambahan, jumlah pelancong Rusia yang berkunjung ke Malaysia juga meningkat.
"Berhubung perdagangan dua hala, sejumlah misi perniagaan dari pelbagai bahagian di Rusia melawat Malaysia tahun ini. Mereka berminat melaksanakan pelbagai projek pelaburan usahasama," katanya. - UTUSAN
Duta dan ketua delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Luc Vandebon pula berkata, tahun 2013 adalah tahun penting bagi Malaysia yang akan mengadakan pilihan raya umum.
"Tanpa mengira keputusannya, pilihan raya itu sudah tentu merupakan detik penentuan bagi Malaysia," katanya.
Katanya, 2013 akan menjadi tahun yang penting bagi hubungan dua hala antara EU dan Malaysia.
"Tiga perjanjian utama akan ditandatangani: Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan Perjanjian Perkongsian Sukarela (VTA).
"Saya amat yakin bahawa kita akan menandatangani perjanjian utama yang dapat kita banggakan," katanya.
Menurut Vandebon, majlis penyampaian Hadiah Nobel Keamanan 2012 adalah satu daripada detik yang tidak dapat dilupakan apabila EU menerima anugerah itu tahun ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment