My Add

Saturday 29 December 2012

Lebih 100 NGO dijangka sokong BN

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, JUMAAT, 28 Disember, 2012: Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menyatakan pendirian menyokong penuh Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti itu terus diberi mandat melaksanakan agenda transformasi rakyat dan negara.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, sokongan NGO-NGO tersebut akan diumumkan pada 31 Disember ini sempena malam kemuncak Karnival Sayangi Selangor 2012 di i-City di sini.

Kata beliau, selain menyatakan sokongan terhadap aspirasi BN, kesemua NGO terbabit dan 5,000 individu lain akan menyerahkan borang menjadi Rakan BN kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijadual hadir pada malam kemuncak karnival tersebut.

"Kita (BN Selangor) dapat banyak sokongan kuat daripada lebih 100 NGO yang memberi jaminan mahu bersama-sama dengan kita. NGO- NGO tersebut melahirkan keyakinan terhadap BN sebagai sebuah parti yang mampu membela rakyat dan membangunkan negara ke arah masa depan lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir Karnival Sayangi Selangor 2012 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Disember 2012 hingga 1 Januari 2013 di i-City.

Antara NGO terbabit ialah Kelab Bell Tamil Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Kuasa Keramat Malaysia, Pertubuhan Bersekutu Rakyat Prihatin Malaysia, Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia serta pelbagai NGO termasuk persatuan-persatuan penduduk di seluruh negeri ini.

Mengenai persiapan terakhir penganjuran karnival tersebut, Mohd. Zin berkata, penyediaan sebanyak 103 gerai jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta 29 gerai pameran agensi kerajaan berjalan lancar.

Beliau berkata, karnival itu juga akan menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan menerusi program Job Fair@i-Walk.

Katanya, pengunjung berpeluang memasuki i-City dan Trick Air Museum@i-City secara percuma sepanjang karnival empat hari itu selain berpeluang melawat Taman Tema Air i-City tanpa sebarang bayaran pada Isnin ini selepas pukul 7 malam.

"Bagi sambutan Hari Keluarga Sayangi Selangor yang diadakan bermula esok, para pengunjung boleh mendapat diskaun sebanyak 50 peratus bermula pukul 2 hingga 6 petang," katanya yang turut menyediakan kira-kira 1,000 sukarelawan belia untuk melancarkan perjalanan karnival tersebut.

Selain itu, katanya, pelbagai acara menarik menanti pengunjung pada karnival itu antaranya Larian Belia Sayangi Selangor, sukan ekstrem, pertandingan gendang Cina serta India dan persembahan parkour.

Menurut Mohd. Zin, kemuncak karnival itu ialah Konsert Ambang Tahun Baru 2013 yang menampilkan persembahan daripada artis tempatan seperti Alyah, Fiq, Suki dan Jinbara serta artis daripada luar negara selain pertunjukan bunga api pada malam 31 Disember ini.

Acara kemuncak juga bakal menyaksikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merasmikan karnival tersebut dan bersama-sama rakyat untuk menantikan detik sambutan ambang tahun 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment