My Add

Thursday, 27 December 2012

Jadi 'anak jantan' - Hamidah Osman

IPOH 26 Dis. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman meminta Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming menjadi 'anak jantan' dengan tampil memberi keterangan kepada polis berhubung kata-kata berbaur ugutan kepadanya baru-baru ini.

Hamidah berkata, Kor Ming yang juga ADUN Pantai Remis tidak sepatutnya memperalatkan pemimpin DAP lain untuk membuat laporan polis kononnya dakwaan ugutan itu adalah palsu.

"Kor Ming yang ugut saya tetapi ADUN Tronoh, V. Sivakumar pula buat laporan polis kata saya buat laporan palsu. Hentikan peralat Sivakumar. Berani buat laporan polis sendiri, baru anak jantan," katanya.

Hamidah membuat kenyataan tegas itu melalui laman sosial Twitter kepada Kor Ming dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham semalam.

Sabtu lalu, Hamidah membuat laporan polis selepas mendakwa menerima kenyataan berbaur ugutan daripada Kor Ming yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan penglibatan dua pemimpin DAP dalam syarikat yang mendapat projek pembalakan di Kelantan.

Dalam laporan itu, beliau mendakwa, Kor Ming mendekatinya di dewan makan sempena berlangsung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu dan berkata: "You revealed, watch out, I will go after you." (Kamu dedahkan, jaga-jaga. Saya akan cari kamu).

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar hari ini, Hamidah menafikan beliau menggunakan undang-undang serta pihak polis dengan sewenang-wenangnya semata-mata untuk kepentingan politik.

"Saya tidak akan menggunakan undang-undang dan polis semata-mata untuk politik, itu bukan cara saya. Saya bimbang jika tekanan yang diberi akan membuatkan mereka bertindak luar batasan. Tujuan saya membuat laporan polis adalah semata-mata untuk mendapatkan perlindungan," katanya.

Hamidah turut mempersoalkan laporan polis oleh Sivakumar yang mendakwa beliau membuat laporan palsu berhubung kejadian berkenaan sedangkan Timbalan Pengerusi DAP negeri itu tidak melihat apa yang berlaku.

Mengenai dakwaan bahawa kejadian ugutan itu tidak berlaku kerana wujud foto yang menunjukkan Kor Ming dan beliau serta beberapa pemimpin lain tersenyum bergambar bersama, Hamidah menjelaskan, sebenarnya berlaku pertengkaran kecil sebelum itu.

"Bila Kor Ming datang jumpa saya, ketika itu saya bersama Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, Datuk Rusnah Kassim (ADUN Ulu Kinta) dan Datuk Hasbullah Osman (ADUN Temenggor). Kor Ming menyebut perkataan itu dan saya menjawab "What if I don't revealed, you don't go after me?

"Kemudian, baru Sivakumar dan Koo Ham datang bergambar selepas diredakan oleh Tan Sri Mohd. Tajol Rosli. Saya mengaku senyum sewaktu bergambar, tetapi dalam hati saya siapa yang tahu, kebimbangan tetap ada," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment