Ketegasan Tunku tolak PKM dikagumi
Oleh AZMAN MD NOOR
BALING, AHAD, 30 Disember, 2012: Peristiwa Rundingan Baling pada 1955 yang melibatkan pertemuan antara pemimpin kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) bagi menghentikan keganasan ketika itu pasti tidak dilupakan oleh Datuk Gurdial Singh.
Walaupun tidak terlibat secara langsung, pesara polis yang kini berusia 80 tahun itu bertanggungjawab menjaga keselamatan di lokasi rundingan tersebut iaitu di Sekolah Inggeris Baling yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Putera.
Beliau merupakan salah seorang daripada lapan anggota polis yang diamanahkan untuk mengawal keselamatan di pekarangan sekolah berkenaan pada 28 Disember 1955.
"Saya masih ingat apa yang berlaku semasa rundingan itu termasuk semasa Rashid Maidin menumbuk meja rundingan," katanya ketika ditemui semasa program Mengimbau Kenangan Peristiwa Baling di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera di sini semalam.
Menurutnya, hanya dia dan seorang lagi rakannya yang berada di Sungai Petani yang masih hidup dan boleh menceritakan detik rundingan itu.
Katanya, beliau amat mengagumi bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang tegas memberikan keputusan walaupun diasak oleh PKM untuk mengiktiraf pergerakan tersebut.
"Walaupun suasana tegang apabila Rasyid Maidin menumbuk meja, Tunku masih senyum dan tetap dengan pendirian tidak mengiktiraf PKM," katanya.
Ketika itu katanya, dia bersama rakan yang lain sentiasa bersedia bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku terutama ketika tuntutan PKM tidak diendahkan.
Gurdial Singh yang juga merupakan Naib Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Kedah berkata, selepas rundingan itu tamat, pemimpin PKM iaitu Chin Peng bersama rombongannya telah diberikan kebenaran untuk beredar dalam tempoh enam jam.
"Sekiranya Chin Peng dan kumpulannya masih berada di sini, pihak keselamatan telah diarahkan untuk mengambil tindakan terhadap Chin Peng dan rombongannya," katanya.
Sementara itu, program Mengimbau Kenangan Peristiwa Baling di sekolah tersebut melibatkan beberapa aktiviti antaranya lakonan semula Rundingan Baling dan pameran agensi kerajaan.
Program itu ditamatkan pada pukul tepat 12.48 tengah hari, sama seperti keadaan berlaku semasa rundingan sebenar.
Gurdial Singh turut memberikan ceramah mengenai kemerdekaan terutama sejarah Rundingan Baling.
Menurutnya, dia bangga dengan tindakan Tunku Abdul Rahman bersama ahli rundingan yang tegas dan berani membuat keputusan.
Program itu dirasmikan oleh Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment