My Add

Monday 31 December 2012

Jakim tegaskan kalimah Allah hanya untuk umat Islam

KUALA LUMPUR, ISNIN 31 Disember, 2012: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengulangi kenyataan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Othman berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.

Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Semua pihak seharusnya memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan kalimah Allah yang bermula pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai dan masih dalam peringkat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Oleh yang demikian membicarakan isu berkaitan sama ada penganut Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" dalam bible Bahasa Melayu dilihat seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan bersifat subjudis", katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment