My Add

Thursday 27 December 2012

3 objektif utama hadapi PRU-13

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, RABU, 26 Disember, 2012: Jentera penerangan Barisan Nasional (BN) perlu menanamkan dalam minda mereka tiga objektif utama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu menang majoriti dua pertiga, menawan empat negeri di bawah pakatan pembangkang dan menambah undi popular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, objektif itu penting kerana semua jentera perlu tahu tujuan dan strategi 'perang' agar kemenangan dapat diraih pada PRU-13.

Menurutnya, jika pakatan pembangkang menjadikan agenda menawan Putrajaya sebagai simbol 'peperangan' mereka, jentera-jentera BN harus berjuang untuk mempertahankannya sehingga ke keringat terakhir.

''Selaku Ketua Penerangan saya sudah beri persediaan cukup termasuk dari segi ceramah, kursus, bengkel, senarai jawatankuasa bilik gerakan, lawatan sambil belajar dan media maya kepada para jentera.

''Kita tidak akan berhenti bekerja sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan parti pada malam mengundi," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan para guru dari Parlimen Pontian di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad, undi popular amat penting bagi melihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap BN dan pembangkang terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar.

Beberapa strategi lain turut diperkukuhkan di empat buah negeri yang kini ditadbir pembangkang dan beliau yakin jentera BN tidak menghadapi masalah untuk melaksanakan tugas tersebut.

Mengulas mengenai tindakan agresif pembangkang memfitnah Felda dengan pelbagai tuduhan tidak tepat, beliau berkata, keadaan itu disebabkan Felda mewakili 52 kerusi Parlimen dan 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Pembangkang memang tergila-gilakan Felda kerana kalau hendak perintah Malaysia mereka kena dapatkan satu perempat daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dan kebanyakannya di Felda," katanya.

Menurutnya lagi, pembangkang terpaksa membawa budaya fitnah dalam mengetengahkan sesuatu isu bagi menutup kelemahan mereka yang gagal menunaikan janji-janji yang telah ditabur dalam manifesto PRU-12.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila kenyataannya yang optimis sekurang-kurangnya lima daripada 23 kerusi Pas, lima daripada 29 kerusi DAP dan 10 daripada 31 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu dirampas BN telah menarik perhatian Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

''Saya gembira sangat bila dia petik kenyataan saya ke dalam blognya, sebab ini menunjukkan isu itu penting, kalau tidak dia kata ini merapu, oleh kerana perkara ini tak merapu dia ambil perhatian.

''Justeru saya nak jentera BN berjuang dengan yakin bahawa kita boleh menang kerana benda itu terlalu amat tidak mustahil untuk dicapai," katanya. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment