My Add

Thursday 27 December 2012

Abdul Hadi jangan diam diri - Dr Hasan Ali

KUALA LUMPUR, ABU, 26 Disember, 2012: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sewajarnya berdiam diri dan membiarkan ahli-ahli serta para penyokong fanatik parti itu terus mengamalkan amanat yang dibuat beliau 31 tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, hakikatnya tiada Muslim siuman boleh menerima perpecahan, perselisihan dan pergolakan dalam masyarakat secara berterusan seperti yang berlaku ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Abdul Hadi sebagai pemimpin dan ulama segera memberi penjelasan berhubung kedudukan amanat tersebut bagi mengharmonikan semula kehidupan masyarakat Islam di negara ini.

"Mungkin Abdul Hadi sedang berfikir. Saya hendak sebut jika beliau sedang berfikir ketika ini, fikirkanlah tentang nasib umat Islam yang bukannya hanya mengenai miskin atau kaya, sebaliknya persoalan mengenai akidah.

"Saya tidak sangka masalah ini merupakan masalah akidah yang besar dan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam yang begitu dahsyat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jati, di sini hari ini.

Hasan mengulas pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani tentang puluhan ribu penyokong Pas yang masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi yang mengkafirkan UMNO dan penyokongnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasan berkata, sepanjang pembabitannya dalam Pas, isu mengenai amanat tersebut tidak pernah ditimbulkan sama ada dalam muktamar, mesyuarat Pas atau dalam mana-mana wacana.

"Apa yang saya dengar cuma secara hear say (cakap-cakap) sahaja. Oleh itu, apabila Utusan Malaysia setiap hari memaparkan contoh-contoh, peristiwa-peristiwa (daripada amanat ini) saya benar-benar terperanjat.

"Selama ini saya dengar cerita secara umum, namun, setelah ada orang bercakap dan bagi contoh-contoh bagaimana anak dan bapa terpisah, adik tidak mengaku abang, tidak hadir dalam majlis kenduri, tidak menziarahi jenazah bapa mertua, ini kesan (buruk) yang berlaku," katanya.

Hasan berkata, beliau juga percaya segala pengalaman yang diceritakan kepada Utusan Malaysia itu tidak banyak iaitu hanya sekitar 10 peratus sahaja.

"Utusan Malaysia tidak boleh menggarap seluruh perkara yang berlaku. Masih terdapat 90 peratus yang tidak diceritakan. Berapa ramai yang telah bernikah semula, berapa ramai yang telah bercerai-berai, berapa ramai yang telah mengeluarkan kata-kata yang sangat kesat termasuk menghina ibu bapa sendiri," katanya.

Kepada satu soalan, beliau meminta pimpinan tertinggi Pas sentiasa berlapang dada dan sedia menerima pandangan daripada para ulama di luar parti itu.

Dalam perkembangan lain, Hasan turut menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menjayakan muzakarah melibatkan para ulama di dalam Pas termasuk Abdul Hadi dengan para ulama di luar lingkungan parti tersebut. -  UTUSAN

No comments:

Post a Comment