Tiga anggota geng samun bersenjata api di Pulau Pinang ditahan
KEPALA BATAS, JUMAAT, 28 Disember, 2012:: Tiga anggota geng samun bersenjata api yang aktif di Pulau Pinang ditahan dalam dua serbuan berasingan di Sungai Petani, Kedah.
Mereka yang berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan malam tadi dan awal pagi ini.
"Bertindak hasil maklumat awam dan risikan polis, kita menyerbu sebuah rumah di Taman Kenari, Sungai Petani pada jam 8.30 malam tadi dan menahan dua lelaki.
"Susulan itu pada jam 5 pagi, kita menyerbu sebuah lagi rumah di kawasan perumahan yang sama dan berjaya menahan seorang lagi lelaki," kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, berikutan serbuan itu, polis turut merampas antara lain sepucuk pistol, 40 butir peluru pelbagai jenis, gari, empat telefon bimbit serta buku akaun Tabung Haji milik seorang wanita.
Siasatan awal mendapati mereka terbabit dalam tiga kejadian samun dan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah bulan lalu dan awal bulan ini, katanya.
Mereka beserta beberapa lagi anggota yang masih bebas dipercayai turut melakukan beberapa lagi kejadian samun dan rompak di sekitar negeri ini.
Abdul Rahim berkata, kumpulan ini sangat berbahaya kerana memiliki senjata api dan akan bertindak di luar jangkaan seperti mencederakan mangsa jika mereka terdesak.
Beliau berkata, salah seorang daripada yang ditahan yang bekerja sebagai pengimpal manakala dua lagi tidak bekerja kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Mengenai kes judi, beliau berkata, 361 premis perjudian di sekitar negeri ini diserbu dari bulan lalu hingga Selasa lepas dan seramai 81 orang termasuk penjaga dan pemilik premis ditahan serta 389 mesin judi dirampas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment