My Add

Monday 31 December 2012

Jangan buat spekulasi - TPM

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *MUHYIDDIN Yassin meninjau kawasan rumah Al-Sheikh Al Syed Afeefiddin Al-Jailani (dua kiri) yang musnah akibat runtuhan benteng konkrit di Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Disember, 2012: Semua pihak digesa tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian tertentu berhubung kejadian runtuhan tembok penahan konkrit di Puncak Setiawangsa, dekat sini kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persoalan mengenai kedudukan sebenar kejadian itu perlu diserahkan kepada pihak-pihak tertentu termasuk pakar untuk menjalankan penilaian serta penyelidikan.

"Dalam laporan atau kajian penyelidikan, kita akan tahu kedudukan sebenar. Biar pakar-pakar yang lebih tahu membuat laporan. Saya sendiri tak mahu buat andaian.

"Apa yang penting ketika ini semua pihak bertanggungjawab telah mengambil langkah-langkah awal termasuk menjalankan pemantauan 24 jam bagi memastikan malapetaka lebih besar dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak kejadian tanah runtuh di kawasan itu hari ini.

Dalam kejadian malam kelmarin, tembok penahan konkrit setinggi 100 meter runtuh dan meranapkan tembok pagar serta sebahagian dapur sebuah banglo mewah di puncak bukit perumahan eksklusif itu.

Sehubungan itu, arahan supaya meninggalkan kawasan berisiko tersebut dikeluarkan kepada 88 penghuni kediaman dan 18 penghuni rumah kedai di kawasan berkenaan yang terdedah dengan bahaya setelah polis mendapat pengesahan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) tentang pergerakan tanah yang masih berlaku.

Langkah berpindah juga melibatkan 30 pemilik banglo mewah di sekitar Jalan Puncak Setiawangsa termasuk dua buah kediaman milik Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique serta bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis.

Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) telah ditubuhkan bagi memantau kejadian tanah runtuh di kawasan terlibat.

Jelasnya, jawatankuasa itu turut dianggotai pelbagai agensi termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ikram.

"Selepas ini kita akan dapatkan laporan lengkap daripada jawatankuasa khas itu untuk dikaji dan diteliti. Saya harap langkah-langkah pemantauan 24 jam diteruskan dan saya minta laporan berhubung situasi semasa diserahkan kepada saya setiap hari.

"Kepada penduduk sekitar, jangan rasa bimbang kerana harta mereka akan sentiasa diawasi pihak berkuasa. Apa yang penting keselamatan diri dan keluarga. Saya juga bersyukur kerana tiada kes kemalangan nyawa berlaku dalam kejadian terbaharu ini," katanya.

Ditanya mengenai sebuah banglo yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu, katanya, banglo milik seorang pensyarah dan pakar motivasi itu akan diruntuhkan secara berperingkat mulai hari ini.

"Kita bimbang kalau tak dilakukan dan kalau hujan mungkin seluruh bangunan banglo itu runtuh dan memberi kesan kepada rumah-rumah di bawah bukit," katanya.

Kepada soalan sama ada bukit yang menempatkan beberapa buah rumah mewah itu akan ditutup, beliau berkata: "Saya tak fikir begitu kerana ada laluan alternatif untuk penghuni-penghuni lain dibuka. Tak semua kawasan dianggap bahaya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment