My Add

Wednesday, 6 November 2013

Abdul Hamid, Zakir Tokoh Maal Hijrah

 * ABDUL Hamid Zainal Abidin (tengah) meraikan pemilihannya sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435 Hijrah Peringkat Kebangsaan bersama isteri, Puan Sri Latipah Abdullah, 11 orang anak, sembilan menantu dan 18 cucu selepas menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, SELASA, 05 November, 2013: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Zainal Abidin dan Presiden Yayasan Penyelidikan Islam, Mumbai yang juga pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Abdul Karim Naik diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1435H/2013M.

Kedua-dua tokoh itu dipilih menerima anugerah berkenaan atas sumbangan mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan antarabangsa serta mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Masing-masing membawa pulang hadiah RM100,000, pingat penghargaan Maal Hijrah dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah itu kepada kedua-dua tokoh berkenaan dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Abdul Hamid, 69, ketika ditemui berkata, anugerah berkenaan adalah penghormatan yang besar kepada beliau dan keluarga sepanjang 42 tahun berkhidmat dalam kerajaan.

Beliau berkata, anugerah itu juga akan menjadi pemangkin kepadanya untuk terus berbakti kepada agama dan bangsa serta memperjuangkan agenda Islam di negara ini.

"Ini adalah pelengkap kepada sumbangan saya kepada kerajaan dan masyarakat umum. Terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan penghargaan begitu tinggi kepada saya," katanya.

Sementara itu, Zakir, 48, merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana memilih beliau sebagai penerima anugerah berkenaan pada tahun ini.

"Saya akan meneruskan misi saya selama ini untuk menyebarkan mesej keamanan melalui media ke seluruh dunia.

"Cita-cita saya adalah untuk mempunyai rangkaian Peace TV dalam 10 bahasa dan kini, Peace TV bahasa Inggeris mempunyai 100 juta penonton di seluruh dunia, Peace TV Urdu (80 juta) dan Peace TV Bangla (50 juta)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment