* ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) melihat pukat tunda haram yang digunakan oleh nelayan Vietnam selepas mengadakan majlis dialog bersama kira-kira 1,000 nelayan di Kuantan, semalam. |
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tidak ada sebab bagi pihaknya berganjak demi melindungi masa depan nelayan Zon A yang berjumlah lebih 80,000 orang berbanding yang terlibat dengan penguatkuasaan saiz pukat itu di Zon B sebanyak 3,900 orang.
Malah, katanya, mesyuarat Kabinet semalam sebulat suara menyokong tindakan menguatkuasakan peraturan itu kerana menyedari ia bertujuan melindungi kepentingan majoriti nelayan, selain menjamin kelangsungan industri perikanan dan khazanah laut negara.
''Saya berterima kasih kepada tuan-tuan, dalam kita menghadapi kumpulan yang menentang penguatkuasaan peraturan 38mm ini, nelayan Zon A saya lihat begitu kuat menyokong saya untuk mempertahankan tindakan yang dibuat kementerian.
''Insya-Allah kerjasama yang ada pada kita ini akan kita teruskan bagi menjamin masa depan nelayan supaya kehidupan kita semua lebih baik," katanya dalam majlis dialog bersama kira-kira 1,000 nelayan Kuantan di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak akan melayan desakan pihak nelayan tertentu yang membantah penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda melebihi 38 mm itu.
Katanya, terdapat lebih 80,000 nelayan di seluruh negara yang menangkap ikan di kawasan Zon A iaitu kawasan penangkapan yang melebihi 9.3 kilometer dari pantai.
"Mulai 1 November lepas, kita telah menguatkuasakan penggunaan pukat tunda yang lubang jaringnya melebihi 38 mm dan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan melakukan penguatkuasaan terhadap perkara ini," katanya.
Beliau berkata, nelayan yang ditahan kerana menggunakan pukat tunda tidak melebihi saiz yang dibenarkan itu akan dikompaun dan sekiranya melebihi tiga kali kompaun, bot mereka akan dirampas dan akan didakwa di mahkamah.
Mengenai saranan nelayan pantai supaya kerajaan mengharamkan bot pukat tunda, beliau berkata, kajian lanjut perlu dilakukan sebelum tindakan tersebut diambil.
"Tidak mustahil kita akan lakukannya kerana banyak negara seperti Jepun dan Korea sudah mengharamkan pukat tunda," katanya.
Mengenai terdapat aduan salah laku nelayan warga Vietnam yang bekerja di negara ini, Ismail Sabri berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet.
"Mungkin kita tidak perlukan lagi nelayan Vietnam bekerja dalam industri perikanan kita," katanya.
Antara aduan nelayan tempatan terhadap nelayan warga Vietnam ialah insiden pergaduhan, penggunaan bom petrol, menjual hasil tangkapan ke negara asal mereka dan melakukan aktiviti yang mengakibatkan unjam atau tukun tiruan milik nelayan tempatan rosak.
Mengenai saranan nelayan pantai supaya kerajaan mengharamkan bot pukat tunda, beliau berkata, kajian lanjut perlu dilakukan sebelum tindakan tersebut diambil.
''Di negara lain seperti Indonesia, Hong Kong, Korea dan Jepun, pukat tunda diharamkan. Jadi bukan mustahil jika kita ambil langkah serupa," tegasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment