My Add

Saturday, 9 November 2013

Kerabat Kedah tubuh persatuan baharu

ALOR SETAR, JUMAAT, 08 November, 2013: Lambang kereta Persatuan Kerabat Diraja Kedah tidak lagi boleh digunakan oleh mana-mana pihak berikutan pembubaran persatuan berkenaan pada 26 September lalu.

Bekas Timbalan Yang Dipertua persatuan itu, Syed Idrus Syed Baharom berkata, perkataan 'Diraja' dalam nama persatuan berkenaan telah digugurkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) mulai tarikh pembubaran itu.

"Oleh itu, logo tersebut tidak boleh digunakan lagi. Jika sesiapa yang menggunakannya, bermakna mereka membuat kesalahan di sisi undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, ekoran pembubaran persatuan tersebut, pihaknya menubuhkan persatuan baharu dengan menggunakan nama Persatuan Kerabat Diraja Kedah (2013) dan dijangka mendapat sijil pendaftaran daripada ROS Ahad ini.

Katanya, beliau mengambil alih jawatan Yang Dipertua persatuan tersebut dan bakal memperkenalkan logo baharu dengan ciri-ciri tertentu bagi memastikan pemohon yang layak sahaja memilikinya.

Kata beliau, sebelum ini pihaknya mengesan ada pihak yang menggunakan lambang kereta Persatuan Kerabat Diraja Kedah palsu selain dipakai oleh bukan ahli.

"Dengan penubuhan persatuan yang baharu, bekas ahli perlu memohon semula untuk menjadi ahli," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara matlamat penubuhan Persatuan Kerabat Diraja Kedah (2013) ialah memberi kerjasama dan sokongan kepada Sultan Kedah dan ahli-ahli kerabat serta khidmat kerjasama dalam segala aspek sejarah kesultanan Kedah.

Selain itu, kata beliau, mereka turut bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan berdaftar yang mempunyai tujuan sama serta menjaga dan memulihara adat-adat diraja agar terus kekal dan dihormati oleh rakyat jelata.

"Penubuhan persatuan ini juga bermatlamat menjadi badan perantara bagi memilih wakil persatuan untuk menghadiri segala bentuk upacara di istana apabila dijemput," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment