My Add

Saturday, 9 November 2013

Patut letak jawatan - Musa

Oleh ZABRY MOHAMAD

PULAU PINANG, JUMAAT, 08 November, 2013: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) yang masih 'degil' memberi iklan dalam akhbar berbahasa Melayu seperti gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaran meletakkan jawatan.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sebagai individu dilantik oleh Perdana Menteri untuk menjalankan tugas yang diamanahkan, mereka seharusnya melaksanakan tanggungjawab membantu orang Melayu.

Menurut Musa, teguran Najib itu ternyata menggambarkan kekecewaannya terhadap CEO GLC yang gagal melaksanakan apa yang disuruh.

"Perdana Menteri lantik mereka untuk menerajui GLC, buatlah kerja. Jangan sampai Perdana Menteri tegur.

"Kalau rasa tidak boleh lakukan apa yang disuruh Perdana Menteri, patut letak jawatan. Beri peluang kepada orang lain yang boleh buat kerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 13 September lalu, Najib ketika berucap dalam majlis perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Utusan Melayu menggesa semua agensi kerajaan, GLC dan syarikat swasta terutama milik bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan akhbar-akhbar Melayu terutama dalam membantu perjuangan masyarakat Melayu selama ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment