Penyewa 'hilang', rumah jadi stor dadah RM14.6 juta
Oleh AZELI ALI
PULAU PINANG, RABU, 06 November, 2013: Selepas menghilangkan diri tanpa membayar sewa rumah selama tiga bulan, sebuah rumah flat yang dihuni seorang lelaki di Jelutong rupa-rupanya dijadikan stor menyimpan dadah.
Perkara ini terbongkar apabila pemilik rumah itu membuat laporan kepada polis dan hasil serbuan, sejumlah dadah jenis syabu dan ekstasi bernilai RM14.6 juta ditemukan dalam rumah tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menyerbu premis itu selepas mendapat maklumat daripada pemilik rumah berkenaan kira-kira pukul 10 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, polis menemukan 19 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 58 kg syabu dan 15 liter cecair syabu di dalam rumah itu yang dijadikan stor simpanan dadah sebelum dihantar ke luar negara.
"Rumah itu disewa seorang lelaki tempatan sejak Ogos lalu namun pemiliknya curiga apabila dia tidak membayar sewa sejak tiga bulan lalu.
"Hasil semakan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati lelaki berusia awal 20-an yang menyewa rumah itu telah ditahan polis China di Shenzen," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment