My Add

Saturday, 9 November 2013

Perak kaji jual air ke beberapa negeri lain

 * DR ZAMBRY Abd. Kadir (kiri) beramah mesra dengan sebahagian pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Perak, di Ipoh, Perak, semalam. - Gambar Zulkarnain Mohd. Saidin
IPOH, JUMAAT, 08 November, 2013: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Air Perak (LAP) sedang mempertimbangkan cadangan menjual air ke beberapa negeri tertentu pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ketika ini cadangan tersebut sedang dikaji dan diperhalusi termasuk dari aspek teknikal bersama Kerajaan Pusat sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Tegas beliau, langkah itu perlu dilakukan agar kerajaan negeri mendapat satu keputusan terbaik yang bukan sahaja mampu membawa faedah kepada Perak malahan pada masa sama tidak menjejaskan bekalan air negeri ini pada masa akan datang.

"Ketika ini penilaian dan kajian dari sudut teknikal sedang dijalankan sama ada untuk membekalkan air terawat atau mentah.

"Saya tidak boleh beritahu negeri mana tetapi kita lebih suka jika dapat membekalkan air terawat," katanya yang juga Pengerusi LAP dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat LAP di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar LAP, Datuk Ir. Mohd. Yusof Mohd. Isa.

Tambah Zambry, beberapa perkara penting yang lain juga perlu dibincangkan secara lanjut termasuk dari segi kepentingan nasional dan pulangan kepada negeri sebelum langkah yang telah dibuat beberapa negeri lain itu diikuti.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar memberitahu, LAP terus menunjukkan prestasi membanggakan dari segi pulangan tahun ini, sekali gus pencapaian tersebut menjadikan agensi itu antara lembaga pengurus air terbaik dan berprestasi tinggi di negara ini.

"Kita jangkakan dari segi pulangan hasil tahun ini apabila akaun ditutup, LAP akan mencatat keuntungan seperti tahun lalu. Berapa jumlahnya saya tidak boleh beritahu lagi kerana akaun belum ditutup," katanya.

Tahun lalu katanya, LAP mencatatkan keuntungan sebelum cukai mencecah RM383.83 juta berbanding RM104.32 juta tahun sebelumnya.

Mengulas bantuan subsidi air pula, Zambry berkata, sehingga 24 Oktober lalu, kira-kira 10,493 keluarga di Perak telah mendapat faedah melalui bekalan 20 meter padu air percuma yang disediakan oleh LAP.

Selain itu, katanya, kira-kira 1,993 rumah ibadat di negeri ini turut mendapat bantuan sama meliputi masjid sebanyak 1,709 buah, kuil (155), tokong (95) dan gereja (34). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment