My Add

Saturday, 9 November 2013

Ramai teruja hadiri Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan

 * PELBAGAI jenis tanaman berbunga turut dipamerkan pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN, JUMAAT, 08 November, 2013: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2013 bermula hari ini dengan pelbagai program menarik menanti pengunjung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini.

Bertemakan Agroteknologi Pemangkin Transformasi Agropreneur, orang ramai khususnya warga Kuantan dilihat tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi hari pertama HPPNK 2013 bermula seawal pukul 9 pagi.

Kebanyakan mereka yang ditemui Utusan Malaysia kelihatan teruja dengan pameran yang diadakan serta tidak melepaskan peluang menikmati makanan tradisional dari negeri ini yang dijual di situ.

Seorang pengunjung yang ditemui, Siti Zuraini Mohd. Ariff, 27, berkata, ini adalah kali pertama dia mengunjungi HPPNK.

"Saya begitu teruja melihat pameran yang disediakan terutama dalam ruangan ternakan air kerana dapat melihat pelbagai jenis ikan seperti arowana, toman dan kelah," katanya.

Bagi Wan Nor Intan Safiqkah Wan Zulkifli, 20, pula, penganjuran HPPNK yang akan berakhir 15 November depan amat baik terutama dalam mendekatkan generasi muda dengan sektor perladangan, penternakan dan perikanan.

Menurut beliau, sebab itu, golongan muda perlu mengambil peluang daripada penganjuran program ini untuk mengetahui lebih dekat potensi kerjaya dalam sektor pertanian yang dilihat mampu menjanjikan pendapatan lumayan.

Suwardi Aris Sidek, 37, pula berkata, melalui HPPNK, dia dapat melihat dan membeli pelbagai jenis buah-buahan seperti nangka madu dan dokong.

"Buah-buahan tempatan yang dijual di tapak ini pastinya yang terbaik dengan tawaran harga menarik. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan," ujarnya.

Selain promosi dan jualan pelbagai jenis hasil pertanian dan industri asas tani, pelbagai acara diadakan termasuk pameran sektor swasta serta jabatan dan agensi kerajaan.

Turut diadakan pavilion negeri-negeri serta pameran teknologi dan inovasi.

Program tersebut dimeriahkan dengan pertandingan memancing, pertandingan fotografi, persembahan kebudayaan dan karaoke, pertandingan berzanji dan marhaban pertubuhan peladang selain seminar pembangunan usahawan tani dan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan.

Majlis perasmian HPPNK 2013 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 9.30 pagi esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment