My Add

Friday, 8 November 2013

Syarat mohon lesen senjata api pengawal diperketat

JASIN, KHAMIS, 07 November, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah drastik mengetatkan permohonan dan memperbaharui lesen senjata api membabitkan pengawal keselamatan dengan mengarahkan kumpulan itu menjalani proses pengambilan cap jari terlebih dahulu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebelum ini permohonan dan memperbaharui lesen senjata api 'Bawa dan Guna' dikeluarkan kepada pengawal keselamatan menggunakan MyKad sahaja.

Menurutnya, langkah terbaharu itu dijangka dapat membantu pihak polis meningkatkan lagi tahap keselamatan khususnya untuk mengesan pemegang lesen yang melakukan kesalahan.

"Bagi memastikan syarat baharu itu dipatuhi, polis kini menjalankan pemeriksaan terhadap semua syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye.

Mengenai pembinaan IPD Jasin, Khalid memberitahu, bangunan yang menelan kos sebanyak RM68.5 juta di kawasan seluas 10.1 hektar itu beroperasi sejak 5 Mac 2012.

"Kawasan ini mengandungi kemudahan logistik merangkumi sebuah bangunan utama setinggi enam tingkat menempatkan blok pentadbiran, dua unit kuarters dua tingkat, 24 unit kuarters kelas F selain surau, dewan serbaguna, kawasan letak kenderaan dan beberapa kemudahan lain," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment