Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
![]() |
* ABDUL Gani Patail (kiri) dan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Ayub Yaakob (dua, kiri) beramah mesra dengan peserta Persidangan Undang-undang Kebangsaan 2013 di Putrajaya, semalam. |
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, undang-undang tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan yang dilakukan dalam media sosial atau media baharu sahaja, malah semua saluran.
"Akta ini bukan sahaja tertumpu kepada isu yang timbul daripada penyalahgunaan internet tetapi akan diperluaskan kepada semua medium merangkumi tujuan sama.
"Pada masa sama, akta ini menunjukkan sikap keterbukaan kerajaan untuk menjadikan setiap undang-undang dalam perlembagaan sentiasa dinamik bagi memenuhi permintaan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Undang-undang Kebangsaan 2013 anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Menurut Abdul Gani, pembentukan rang undang-undang tersebut merupakan maklum balas kerajaan terhadap kritikan yang diterima tentang kelemahan Akta Hasutan 1948.
Katanya, akta baharu itu akan mempromosikan semangat harmoni dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini dalam mengimbangi hak kebebasan bersuara seperti dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menyentuh tentang undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1954, katanya, undang-undang yang tegas terpaksa digubal bagi melawan jenayah yang kejam.
Beliau turut mengambil contoh kes pembunuhan kejam pegawai AmBank di Subang Jaya, Norazita Abu Talib dan Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Rafli Ab. Malek baru-baru ini.
Ujar beliau, jenayah terancang tersebut jika tidak dibanteras menggunakan akta lebih tegas akan memberi kesan berbahaya kepada keselamatan rakyat secara keseluruhan.
"Langkah ini merupakan antara inisiatif diambil kerajaan untuk menangani isu keselamatan yang semakin menjadi-jadi ke atas orang awam dan negara.
"Justeru, apabila menyentuh tentang keselamatan orang ramai, satu pengorbanan perlu dilakukan untuk kesejahteraan semua dan setiap pengenalan terhadap sesuatu undang-undang baharu pasti mempunyai alasan yang kuat," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Gani turut meminta semua pihak memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan terhadap akta dan undang-undang sedia ada bagi meningkatkan tahap keselamatan orang ramai.
Beliau berkata, keberkesanan undang-undang baharu itu hanya dapat dilihat sama ada baik atau sebaliknya selepas dilaksanakan dan mampu menyelesaikan masalah sedia ada. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment