My Add

Thursday 6 December 2012

Ahli UMNO perlu sokong calon yang dipilih untuk menang dua pertiga: Dr M

BENTONG, RABU, 05 Disember, 2012:: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru semua ahli UMNO supaya menyokong sesiapa saja yang dipilih oleh parti menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Katanya, langkah itu bagi memastikan perpaduan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat dikekalkan, sekali gus menguatkan BN dan memastikan kemenangan dua pertiga dapat dicapai.

"Saya mohon supaya semua ahli UMNO bersatu dan rapatkan barisan dan menyokong sesiapa saja calon yang dipilih parti.

"Sama ada matanya sepet sebelah atau hidung penyek, sokonglah mereka dalam memastikan kemenangan dua pertiga pada PRU-13 kelak," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis Bicara Tokoh bersama rakyat di Felda Kemasul, dekat sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sokongan orang Melayu berkurangan akibat perpecahan yang berlaku di dalam parti sehingga menyebabkan UMNO, parti yang mewakili orang Melayu di negara ini kalah teruk pada pilihan raya umum 2008.

Justeru, katanya UMNO dan parti komponen BN perlu terus berdampingan dengan rakyat supaya rakyat terus memberi sokongan.

"Saya juga lihat sokongan terhadap UMNO semakin meningkat pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 baru-baru ini apabila ramai perwakilan dan anggota yang memberi perhatian dan respons yang cukup baik terhadap ucapan dan amanat yang disampaikan oleh Presiden (Datuk Seri Najib Razak).

"Saya harap sokongan itu dapat diterjemahkan dengan memberi sokongan kepada parti dan memastikan BN menang pada PRU-13 kelak," katanya pada sesi soal jawab selama satu setengah jam itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment