My Add

Tuesday 4 December 2012

Guna kaedah mendidik untuk cegah jenayah syariah: Jamil Khir

KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Disember, 2012: Agensi penguatkuasaan undang-undang Islam negara ini disaran menggunakan kaedah pencegahan melalui pendidikan berbanding fokus pada kaedah undang-undang dan hukuman semata-mata untuk mengurangkan kadar jenayah syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan sedemikian dilihat lebih efektif selain dapat memperlihat keindahan Islam serta menangkis tanggapan orang ramai yang mahkamah dan agensi Islam negara hanya bersifat menghukum semata-mata.

"Pencegahan melalui kempen yang mendidik masyarakat supaya menjauhi jenayah syariah perlu dilaksana semaksimum mungkin berbanding hanya menjatuhkan hukuman kepada pesalah syariah semata-mata," katanya selepas merasmikan pelancaran Kempen Cegah Jenayah Syariah peringkat Wilayah Persekutuan 2012 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Hentian PLUS Sungai Besi Arah Utara, hari ini.

Kempen julung kali itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Keselamatan Trafik Plus Malaysia Berhad (PLUS) serta beberapa agensi lain.

Turut hadir Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Ibrahim Lembut dan Ketua Pengarah Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, agensi dan pihak terbabit juga perlu keluar dari medium tradisional iaitu masjid dan surau untuk menyampaikan maklumat kempen atau dakwah dengan memperluaskannya ke lokasi lain yang dirasakan sesuai.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan sesuatu kempen atau maklumat menjangkau capaian kelompok yang lebih luas dan ramai.

"Seperti kempen yang dilancarkan hari ini, JAWI sudah melakukan sesuatu yang berada di luar ruang lingkup tradisi dengan menyebarluaskan maklumat kempen di plaza tol dan agensi untuk memberi kesedaran yang lebih merata, lebih-lebih lagi kepada kelompok anak muda di dalam masyarakat," katanya.

Beliau juga berharap pendekatan yang dilaksanakan JAWI akan dicontohi agensi dan jabatan agama negeri lain di seluruh negara bagi mengurangkan jenayah syariah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment