My Add

Friday 21 December 2012

Hampir semua Projek Greater KL/Lembah Klang capai KPI

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Hampir semua projek di bawah inisiatif Greater KL/Lembah Klang telah mencapai atau sekurang-kurangnya menghampiri Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, sejak dilancarkan dua tahun lepas hingga Disember tahun ini, projek di bawah Greater KL/Lembah Klang telah membelanjakan 94 peratus atau RM1.49 bilion daripada peruntukan perbelanjaan pembangunannya.

"Pada tahun ini, kita telah menyaksikan kejayan InvestKL untuk menarik 10 syarikat multi-nasional untuk menubuhkan ibu pejabat mereka dalam kawasan pembangunan GreaterKL/Lembah Klang berbanding enam sahaja pada tahun lepas.

"Selain itu, sejauh 13.4 kilometer rangkaian pejalan kaki juga berjaya disiapkan manakala bagi projek penghijauan Kuala Lumpur telah melebihi sasaran 30,000 batang pokok dengan jumlah penanaman sebanyak 31,898 pokok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Apresiasi Greater KL/Lembah Klang 2012 di sini, semalam.

Bagi projek Sungai Nadi Kehidupan pula, Raja Nong Chik berkata selain sedang melalui proses penglibatan orang awam, agensi pelaksana bagi inisiatif tersebut juga telah menyiapkan Pelan Induk Pengindahan Sungai.

Pada masa sama, beliau menjangkakan projek pengindahan sungai bagi Presint 7 di kawasan Masjid Jamek bermula tahun depan manakala keseluruhan kerja pengindahan sungai sekitar Lembah Klang bakal siap sepenuhnya pada 2016.

Mengenai projek Transit Aliran Massa (MRT), beliau berkata semua pakej tender bagi kerja awamnya telah ditawarkan tahun ini manakala kerja pengambilan balik tanah hampir selesai. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment