My Add

Thursday 13 December 2012

HKL sambut 19 bayi 12.12.12 setakat jam 12 tengah hari

HIDAYAH HAIROM


*DARI kiri) Noor Haslinda, Nurul Hidayu, dan Roziana ceria bersama bayi masing-masing yang dilahirkan hari ini 12.12.12 di Hospital Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Disember, 2012: Tanggal 12.12.12 akan menjadi tarikh yang tidak akan dapat dilupakan oleh Roziana Othman, 22, dan pasangannya, Mohamad Ashid Mohd Isa, 26, kerana tidak menyangka bayi sulungnya akan dilahirkan hari ini - tarikh yang ramai anggap sebagai 'cantik'.

Roziana melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.2 kilogram secara normal di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, tidak terfikir anaknya itu akan dilahir seawal hari ini kerana tarikh kelahiran yang ditetapkan ketika membuat pemeriksaan bulanan, adalah pada 2 Januari depan.

"Pada awalnya hasil ujian imbasan, saya dan suami dimaklumkan yang bayi kami adalah perempuan, namun saya dapat merasakan ia adalah lelaki, dan ia menjadi kenyataan.

"Bagaimanapun saya amat bersyukur kerana semuanya selamat, apatah lagi ini pengalaman pertama saya melahirkan bayi. Semestinya saya mengharapkan yang terbaik untuk masa depannya dan membawa tuah buat kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di HKL, hari ini.

Bayi yang bakal dinamakan Mohamad Darwisy itu merupakan salah seorang daripada 19 bayi iaitu 12 lelaki dan tujuh perempuan yang dilahirkan pada tanggal 12.12.12 di HKL setakat jam 12 tengah hari tadi.

Kelahiran pertama direkodkan pada jam 12.47 pagi melalui kaedah pembedahan iaitu bayi perempuan seberat 3.05 kilogram.

Dalam pada itu, seorang lagi ibu bertuah, Nurul Hidayu Mohamed Azizi, 24, berkata, dia dijadualkan bersalin pada 21 Disember ini namun dinasihatkan pihak hospital untuk, bersalin awal bimbang kedudukan bayi yang songsang.

"Doktor masukkan ubat semalam, jadi saya fikir mungkin saya bersalin semalam, namun selama lebih 12 jam menunggu, baru saya mula sakit mahu bersalin. Tidak teringat langsung tentang tarikh cantik hari ini kerana hanya berharap semuanya selamat.
"Alhamdulillah saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.8 kilogram pada jam 1.35 pagi.

"Ketika ujian imbasan dibuat juga saya maklum bayi adalah perempuan, namun bila keluar lelaki. Kerana itu belum ada nama lagi. Saya harap dia menjadi anak yang bertuah dan pandai belajar," katanya ini pengalaman ketiga melahirkan anak.

Sementara itu, Nor Haslinda Ali, 26, turut berkongsi pengalaman melahirkan bayi bertuahnya kerana baginya dia melalui proses melahirkan yang amat mudah.

Katanya, kelahiran itu juga memberi semangat buat suaminya, Borhan Mohd Nawawi, 28, seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang melalui proses temuduga kenaikan pangkat hari ini.

"Ini anak ketiga saya, dan sepatutnya saya dijadualkan bersalin pada 14 Disember, namun syukur kerana tidak sangka bayi akan lahir pada hari ini setelah saya mula sakit semalam.

"Beberapa pengalaman lucu terjadi semasa proses melahirkan, sementara menanti bayi keluar, dan ia akan menjadi detik yang tidak akan saya lupakan. Saya berharap dia dapat menjadi anak yang bertuah dan berjaya," katanya.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment