My Add

Friday 21 December 2012

Kadar kebimbangan jenayah

PETALING JAYA, KHAMIS, 20 Disember, 2012: Polis menyasarkan untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap jenayah kepada 24 peratus berbanding 50 peratus sekarang melalui pelaksanaan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tahun depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, pihaknya sedar masih wujud kebimbangan di kalangan masyarakat terhadap keselamatan meskipun kadar jenayah sebenar mencatat penurunan.

"Saya lihat masih ada masyarakat yang berasa takut dengan keselamatan mereka walaupun laporan keamanan antarabangsa menunjukkan negara berada dalam keadaan selamat, sekali gus memperlihatkan usaha dalam memerangi jenayah selama ini di landasan yang betul.

"Kita dalam usaha untuk memerangi persepsi masyarakat untuk memperbetulkannya memandangkan ia menjadi sebahagian daripada kehendak mereka terhadap pasukan keselamatan," katanya selepas majlis penganugerahan Balai League Table (BLT) siri 2 dan 3 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan fasa kedua NKRA Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun depan akan memberi tumpuan persepsi orang ramai terhadap keselamatan.

Berbanding fasa pertama yang lebih menumpukan statistik, indeks dan sasaran jenayah tertentu, fasa kedua akan menekankan tentang suasana, persekitaran dan persepsi masyarakat terhadap keselamatan di sekeliling mereka.

Ismail berkata, dalam usaha itu juga, kesemua 28 inisiatif dalam NKRA fasa pertama akan dilihat untuk pembaharuan atau penambahan termasuk meningkatkan tahap interaksi pegawai dan anggota polis dengan masyarakat.

"Seramai 1,000 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan akan menamatkan latihan mereka pada tahun hadapan dan mereka akan membantu polis dalam menjalankan tugas memerangi jenayah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat palsu mengenai khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah Kuala Muda, Kedah.

"Perkara sebegini tidak boleh dipermainkan kerana ia melibatkan isu perkauman. Jika maklumat palsu seperti ini tersebar, ia bukan sahaja memberi kesan emosi kepada masyarakat kawasan terbabit malahan turut mempengaruhi tanggapan masyarakat secara keseluruhannya,'' jelasnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment