My Add

Friday 14 December 2012

MIC berada dalam momentum terbaik hadapi pilihan raya umum

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 Disember, 2012: MIC kini berada dalam situasi terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang selepas mendapat suntikan semangat dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-66 yang diadakan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, MIC ketika ini memiliki keyakinan dan sokongan kaum India yang bertambah kuat selepas perhimpunan agung tersebut.

"Kita dapat lihat momentum parti meningkat selepas perhimpunan agung itu, kehadiran peserta amat memuaskan, malah kebanyakan perwakilan pulang dengan gembira dan penuh keyakinan.

"Ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyemarakkan semangat dan keyakinan ahli-ahli MIC dalam persidangan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bagi persatuan-persatuan penganut agama Kristian di Ibu Pejabat MIC, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 37 gereja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penganut agama Kristian seluruh negara menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.1 juta.

Peruntukan itu diberikan bagi tujuan penyelenggaraan, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf gereja serta aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan masyarakat Kristian.

Menurut Palanivel, hampir semua permintaan berkaitan kaum India yang dikemukakan dalam perhimpunan itu disambut baik dan akan diberi perhatian oleh kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment